My Add

Tuesday 8 May 2012

Ibu dipenjara sehari, denda RM2,000 kerana mencuri

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Mei, 2012: Gara-gara mencuri pakaian dan barangan kanak-kanak berjenama bernilai lebih RM1,000 di sebuah pasaraya, seorang ibu dipenjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. 

Majistret Azmil Muntapha Abas turut memerintahkan tertuduh Norlela Osman, 29, dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Azmil Muntapha ketika membuat keputusan itu berkata, faktor kepentingan awam perlu diambil kira dan rayuan pihak pembelaan termasuk latar belakang tertuduh turut dipertimbangkan sebelum mahkamah menjatuhi hukuman.

"Kecurian di pasaraya adalah perkara yang sering berlaku di Kuala Lumpur dan hukuman yang diberikan bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh sebaliknya kepada masyarakat. Alasan tertuduh melakukan kesalahan itu disebabkan kesempitan wang bukan alasan yang munasabah," katanya. 

Norlela didakwa mencuri 19 helai pakaian kanak-kanak berjenama, tiga botol susu dan barang kanak-kanak yang lain kepunyaan AEON Jusco Wangsa Maju bernilai RM1,017.80 di pasaraya itu di sini antara jam 8.30 malam hingga 9.30 malam pada Sabtu lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. 

Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana tertuduh yang tidak bekerja mempunyai tiga anak berusia antara lapan bulan dan lapan tahun dan seorang daripadanya menghidap ketumbuhan di belakang kepala manakala suaminya bekerja sebagai pemandu lori. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment