My Add

Friday 11 May 2012

IDBG bantu Malaysia capai negara maju

MOHAMED Ali
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Satu mekanisme pemantauan secara bersama antara Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDBG) dan Malaysia perlu dibentuk dalam Strategi Kerjasama Negara Anggota bagi Malaysia (MCPS).

Presiden IDBG, Tan Sri Dr, Ahmad Mohamed Ali Al Madani berkata, mekanisme tersebut bagi membolehkan kumpulan itu membantu Malaysia mencapai status negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, elemen unik MCPS yang dikenali sebagai ‘hubungan berbalik’ secara proaktif meningkatkan kerjasama selatan-selatan dengan menggalakkan pengaturan berkembar, pemindahan teknologi, pertukaran amalan terbaik dan kerjasama teknikal.

Menurutnya, ia merupakan Wawasan 1440H (2020) IDB untuk meningkat dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam kalangan ahli-ahli.

‘‘IDBG berharap melalui strategi dan pembabitan aktif pelabur daripada 33 negara ahli, kerjasama perniagaan dapat dibentuk.

‘‘Malaysia adalah sebuah negara yang membangun dan berpendapatan tinggi pertengahan, menawarkan pelbagai peluang hebat dalam intra perdagangan dan pelaburan jangka panjang, selain platform bagi peluasan pasaran di rantau ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Forum Pelaburan IDBG-Malaysia di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmed berkata, sejak penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) pada 1975, ia telah terlibat dalam 117 projek dengan nilai pembiayaan AS$1.4 bilion (RM4.2 bilion).

Katanya, ia termasuk sejumlah AS$555 juta (RM1.665 bilion) bagi projek pembiayaan, pinjaman perdagangan AS$396 juta (RM1.18 bilion) dan AS$482 juta (RM1.446 bilion) bagi perbendaharaan dan operasi lain-lain.

IDB juga menerbitkan sukuk bernilai RM400 juta di Malaysia iaitu RM300 juta bagi pembiayaan projek Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan bakinya untuk projek Lebuh Raya KL-Selangor. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment