My Add

Wednesday 16 May 2012

Indonesia sokong pertemuan menteri

Saharudin Musthafa
JAKARTA, SELASA, 15 Mei, 2012: Indonesia menyambut baik cadangan Malaysia supaya diadakan pertemuan tahunan antara menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam antara kedua-dua negara.

Selain pertemuan tahunan kedua menteri itu, Malaysia menerima cadangan Indonesia untuk menghimpunkan ulama kedua-dua negara bagi berbincang dan berkongsi perkembangan semasa mengenai agama Islam.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan rakan sejawatannya, Drs. Suryadharma Ali turut sependapat, Malaysia harus diundang untuk menjayakan dialog budaya tahunan anjuran Indonesia.

Ketiga-tiga persefahaman itu dicapai pada pertemuan kedua-dua menteri berkenaan di sini semalam.

Jamil yang berada di sini untuk lawatan rasmi memberitahu, pertemuan positif dengan pencapaian tiga cadangan itu akan segera digerakkkan bagi memastikan manfaat yang besar dicapai oleh kedua-dua negara.

Menurut Jamil, persetujuan untuk menjayakan pertemuan tahunan antara menteri agama itu membuktikan Indonesia komited untuk sama-sama berusaha meningkatkan syiar Islam.

"Insya-Allah, komitmen mengadakan pertemuan tahunan antara dua negara memberi peluang untuk kita melihat ruang lingkup yang boleh diperkemaskan dalam konteks untuk meningkatkan keindahan Islam," kata Jamil kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Suryadharma di sini semalam.

Jamil juga memberitahu, cadangan pertukaran dan pertemuan ulama seperti yang dilontarkan Indonesia pula menawarkan banyak ruang perbincangan mengenai Islam yang tidak hanya terhad pada soal hukum dan hakam semata-mata.

Menurut beliau, Malaysia sentiasa bersedia untuk mendengar dan berkongsi pengalaman Indonesia menguruskan jumlah penduduk Islam yang begitu besar jumlahnya.

"Ini (pertemuan ulama) merupakan perkara yang semestinya (diadakan). Insya-Allah kita akan susun (pertemuan ini).

"Pengalaman Indonesia menguruskan ramai umat Islam yang ramai dalam konteks hukum hakam, amalan ibadat dan konteks menangani persoalan baru perlu dikongsi dan ditukar dengan Malaysia," kata beliau lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment