My Add

Wednesday 9 May 2012

Indonesia tak campur tangan siasatan 3 warga ditembak mati

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Mei, 2012: Kerajaan Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia bagi menyiasat dan menyediakan laporan berhubung kes kematian tiga warganya yang ditembak mati ketika merompak sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan, Mac lepas.

Pemangku Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mulya Wirana berkata, Jakarta tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi hasil siasatan kerana percaya Kuala Lumpur akan mengendalikan kes berkenaan dengan telus.

"Kami bukan nak cari salah tapi nak tegakkan keadilan dan percaya Wisma Putra, Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat terbuka dalam mengendalikan kes ini," katanya kepada wartawan selepas mengiringi delegasi Ahli Dewan Perwakilan Daerah Indonesia melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di sini hari ini.

Ketua Panitia Akuntabilitasi Publik, Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia Prof Dr Farouk Muhammad mengetuai rombongan terdiri tiga ahli Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia Provinsi Nusa Tenggara Barat dan tiga orang ahli Komisi Hak Asasi Manusia Indonesia.

Dalam kejadian pada 24 Mac lepas, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas penjenayah terbabit cuba menyerang anggota polis setelah menyedari kehadiran pasukan keselamatan itu.

Sementara itu, Dr Farouk berkata pertemuan selama lebih sejam dengan Abu Zahar antara lain bertujuan memohon kerjasama dan mendapatkan penjelasan lanjut termasuk daripada PDRM mengenai kes berkenaan.

Katanya anggota keluarga mangsa, masyarakat dan kerajaan Indonesia berharap supaya siasatan kes itu dapat diselesaikan dengan segera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment