My Add

Friday 18 May 2012

Industri automotif jaya dipertahan

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
KUANTAN, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mampu mempertahankan industri automotifnya berbanding negara lain walaupun ia berdepan dengan cabaran rumit serta penggunaan teknologi canggih ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak banyak negara yang sanggup meneruskan industri itu kerana ia memerlukan modal berbilion ringgit untuk menghasilkan model baru sekali gus memberi saingan kepada pengeluar kenderaan lain.

"Britain misalnya, tiada lagi mempunyai industri automotif termasuk Switzerland dan Belgium. Tetapi kita, satu-satunya negara membangun yang memasuki dalam bidang rumit dan canggih ini.

"Saya berasa gembira kerana tumpuan kepada kejuruteraan automotif itu berjaya melahirkan mereka yang terlatih dan mempunyai kebolehan di paras tertinggi," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif daripada Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kompleks Sukan universiti itu di sini hari ini.

Anugerah tersebut diberikan kepada beliau sebagai penghargaan terhadap jasa bekas Perdana Menteri itu membangunkan industri automotif negara sehingga berjaya mengeluarkan kenderaan sendiri.

Hadir sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Ibrahim Nasir.

Dr. Mahathir berkata, penglibatan swasta dalam bidang tersebut akan merancakkan industri automotif kerana mereka memberi fokus kepada keuntungan dan sanggup melabur berbilion ringgit untuk mengeluarkan model baru.

Menurut beliau, jika industri itu masih berada di bawah kerajaan, syarikat terlibat akan menghadapi masalah menghasilkan model baru kerana kekurangan sokongan kewangan.

"Kalau di dalam kerajaan, kadang-kadang memang susah sikit nak maju kerana tidak memikirkan untung rugi.

"Sebaliknya jika berada di bawah swasta, mereka sanggup mengeluarkan pelaburan besar untuk mencari keuntungan dengan menghasilkan model baru untuk pasaran automotif," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, perpindahan pengurusan Proton Holdings Bhd. (Proton), kepada Kumpulan DRB-Hicom Bhd., bakal memberi sinar baru dalam mengembalikan keuntungan syarikat automotif negara itu.

"Sekarang saya nampak syarikat itu mula pulih dan percaya dengan penswastaan semula, ia akan terus maju lagi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment