My Add

Saturday 5 May 2012

Jawatan Penyelaras Pembanterasan Keganasan PBB perlu

NEW YORK, SABTU, 0 Mei, 2012: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon hari ini mencadangkan kepada anggota Majlis Keselamatan PBB supaya mewujudkan jawatan Penyelaras Pembanterasan Keganasan PBB untuk memperkemaskan penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan negara anggota. 

Ketika menyuarakan cadangan itu pada perbahasan mengenai ancaman keganasan terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, Ban berkata: "Dengan bekerja bersama-sama - daripada memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang hinggalah kepada menangani penganjur ekstremisme - kita akan dapat mengurangkan ancaman besar terhadap keamanan dan keselamatan secara besar-besaran."

Mesyuarat itu dilihat oleh banyak pihak sebagai pembuka tirai kepada semakan semula yang akan dibuat oleh Perhimpunan Agung terhadap Strategi Pembanterasan Keganasan Global PBB (UNGCTS) bulan depan.

UNGCTS, yang diterima pakai secara rasmi oleh Perhimpunan Agung PBB pada September 2006, mempunyai empat komponen utama: menangani keadaan yang melahirkan keganasan; mencegah dan memerangi keganasan; mengukuhkan peranan sistem PBB berhubung perkara itu dan memastikan hak asasi semua pihak serta kedaulatan undang-undang dihormati sebagai asas utama dalam perjuangan memerangi keganasan. 

Dalam ucapannya, Ban menyifatkan keganasan sebagai ancaman besar terhadap keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta manusia dan dalam hubungan ini, masyarakat global perlu terus memberi respons secara tegas dan menyeluruh. 

"Walaupun usaha yang dilakukan secara bersama berjaya meredakan serangan dan melemahkan rangkaian pengganas, tetapi serangan terbaru di Afghanistan, Iraq, Nigeria dan Yaman menunjukkan bahawa ancaman besar masih wujud dan pertubuhan pengganas terus mencari tempat berlindung baru, menggunakan taktik baru dan mencari sasaran baru," katanya. 

Beliau juga menegaskan tentang perlunya fokus khas diberi kepada keadaan yang merangsang penyebaran keganasan serta melaksanakan pendekatan bersepadu bagi memerangi ekstremisme keganasan yang termaktub dalam UNGCTS. 

"Ini bererti memerangi kemunculan keganasan, memperkasa usaha membina keupayaan dan melindungi hak asasi manusia menjadi tumpuan utama dalam respons kita. 

"Ia bererti menyelesaikan pertelingkahan secara aman, menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan, merancakkan pembangunan dan mengadakan lebih banyak dialog antara budaya serta menangani perasaan tidak puas hati yang sering diambil kesempatan oleh pengganas. 

"Ia juga bererti memupuk perasaan hormat terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang yang amat penting dalam semua pendekatan untuk memerangi keganasan dan mengiktiraf serta meredakan penderitaan mangsa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment