My Add

Tuesday 8 May 2012

JPN ada rekod 40,558 pengundi status diragui

PUTRAJAYA, SELASA, 08 Mei, 2012: Nama sejumlah 40,558 pengundi, yang status mereka dalam Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini diragui, disahkan wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata sehubungan itu, SPR akan terus mengekalkan nama dalam senarai Daftar Pemilih Induk.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Teknikal dan Mengenai Daftar Pengundi antara kementerian, SPR, JPN dan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

"Dalam usaha untuk mengemas kini Daftar Pemilih SPR, pihak SPR telah mempamerkan kesemua Daftar Pemilih berkenaan selama empat bulan untuk disemak.

"Hasil daripada semakan tersebut, sebanyak 1,496 rekod telah dikemas kini melalui laporan kematian dan sebahagiannya telah menukar kad pengenalan lama kepada MyKad," kata Mahmood.

Sebelum ini, sejumlah 42,054 nama dalam Daftar Pemilih yang diragui telah dibangkitkan oleh pihak tertentu dan didengar dalam sesi pendengaran awam di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment