My Add

Tuesday 22 May 2012

Kakitangan Pejabat Perdana Menteri gotong-royong di Kampung Pagi

*MOHD. Po'ad Jelani (tiga dari kiri) bersama Tuk Empat Kampung Pagi, Zakaria Ramli (empat dari kiri), Wan Amizan Wan Abdul Razak (dua dari kiri) dan Akmar Hisham Mokhles (kiri) bergambar selepas menyertai gotong-royong di Kampung Pagi, Jerantut, semalam.

JERANTUT, ISNIN, 21 Mei, 2012: Pejabat Perdana Menteri mengadakan gotong-royong membersihkan Kampung Pagi dekat sini, sebagai salah satu program turun padang menerusi Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri bagi membantu merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Program di kampung yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pangkalan Kuala Tahan itu disertai oleh 40 kakitangan pejabat berkenaan.

Terdahulu, peserta program itu menaiki perahu panjang menyusuri Sungai Tembeling untuk sampai ke kampung tersebut.

Menurut Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri merangkap penyelaras Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri, Datuk Mohd. Po'ad Jelani, program kemasyarakatan seperti itu telah berjalan sejak dua tahun lalu melibatkan beberapa kawasan di beberapa negeri.

"Melalui kerja amal ini, kami dapat mendekati masyarakat setempat secara terus dan berdampingan dengan mereka bagi membantu dalam pelbagai perkara seperti perpaduan dan ekonomi setempat," katanya.

Program kemasyarakatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Menurut Mohd. Po'ad, program itu diharap dapat mengeratkan perpaduan dalam masyarakat kerana dijayakan secara bersama tanpa mengira fahaman politik dan mendapat sokongan padu penduduk.

Katanya, gotong-royong yang bermula sejak pukul 10 pagi itu berakhir dengan jamuan makan tengah hari.

"Program amal di bawah Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri ini akan diperluaskan pada masa depan dengan pelbagai aktiviti lain yang sedang dirancang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment