My Add

Thursday 3 May 2012

Kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar ditemui

Keluarga ucap terima 
kasih kepada media, polis

*Nayati Moodlia yang dipercayai hilang dan dilarikan dua lelaki tidak dikenali 28 April lalu, kini berada di pangkuan keluarganya. Foto ini dihantar bapanya, Sham Moodliar menerusi Twitter, pagi ini. 

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar, 12, yang dipercayai hilang dan dilarikan dua lelaki tidak dikenali 27 April lalu, ditemui selamat di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh pada jam 7.55 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kanak-kanak berkenaan kini berada dalam keadaan selamat bersama keluarganya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki warga Belanda itu hilang dipercayai diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini, kira-kira jam 7 pagi, Jumaat lalu.

Nayati, yang memakai pakaian seragam sekolahnya dikatakan dilarikan dua lelaki yang menaiki kereta Proton Gen-2 berwarna hitam.

Keluarga kepada kanak-kanak lelaki itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada media kerana membantu menghebahkan maklumat ke seluruh negara.

Wakil keluarga yang tidak mahu namanya disiarkan menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan rakyat negara ini termasuk pihak media dan polis.

"Terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu dan bekerjasama dalam membawa Nayati pulang ke pangkuan keluarga semula," katanya di kediaman keluarga itu di Mont Kiara di sini, hari ini. - Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment