My Add

Tuesday 8 May 2012

Kastam Kedah rampas dadah bernilai RM1.2 juta

ALOR SETAR, SELASA, 08 Mei, 2012: Kastam Diraja Malaysia Kedah mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 4.5 kilogram bernilai hampir RM1.2 juta oleh seorang wanita warga Vietnam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam, Sabtu lalu. 

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif, berkata wanita berusia 43 tahun itu ditahan ketika pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap beg pakaiannya di laluan pejalan kaki di kompleks itu kira-kira 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, anggota kastam yang melakukan pemeriksaan itu merasa curiga kerana beg berkenaan didapati terlalu berat manakala pakaian milik suspek tidak begitu banyak.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam beg berwarna hijau Unit Narkotik Kastam mendapati satu bungkusan lutsinar yang dibalut dengan menggunakan pita pelekat berwarna coklat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. 

"Dadah itu disorok pada bahagian bawah beg sebelum diletakkan satu lapisan petak yang digam bersama bungkusan dadah sementara pakaian milik suspek diletakkan di bahagian atas bagi mengelak dikesan," katanya di Pejabat Kastam Negeri di sini, hari ini. 

Abd Aziz berkata, wanita berkenaan yang mempunyai dua anak lelaki di Vietnam dipercayai membawa dadah itu dari negaranya melalui Thailand untuk masuk ke negara ini dengan menaiki kereta sewa. 

Beliau percaya suspek adalah keldai dadah dipercayai akan berhenti di perhentian bas Changlon sebelum membawa dadah itu kepada satu sindiket untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Ketika ditahan, suspek hanya berdiam diri serta tidak membantah seolah-olah mengetahui kesalahannya menyeludup masuk dadah berbahaya ke negara ini,” katanya. 

Suspek direman selama lapan hari bermula 5 Mei lalu hingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan. 

Abd Aziz berkata, kes akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dikenakan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment