My Add

Wednesday 9 May 2012

Kedutaan terus jadi sasaran

*ISU ‘curi organ’ yang didakwa rakyat Indonesia mencetuskan protes di Kedutaan Indonesia di Jakarta sejak hujung bulan lalu selepas kenyataan kerajaan republik itu sendiri yang menolak dakwaan berkenaan tidak diterima rakyat Indonesia. - UTUSAN

JAKARTA, SELASA, 08 Mei, 2012: Kedutaan Malaysia di Indonesia, hari ini terus menjadi sasaran kumpulan penunjuk perasaan yang menggelarkan diri mereka Komando Pejuang Merah Putih (KPMP) apabila melancarkan demonstrasi ekoran laporan mendakwa rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia dianiaya dan dibunuh.

Kumpulan penunjuk perasan terbabit turut membawa replika senjata api pelancar roket dan keranda sebagai simbolik semasa mengadakan bantahan.

Demonstrasi tersebut menyebabkan Jalan HR Basuna Said mengalami kesesakan teruk apabila kumpulan itu mula berkumpul di hadapan Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta, pada kira-kira pukul 10 pagi (8 pagi waktu Malaysia hari ini) untuk menemui Duta Besar Malaysia.

Ketua kumpulan itu, Faturrahman berkata, pihaknya menuntut agar kerajaan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Indonesia berhubung laporan tersebut.

“Selama ini kami tidak pernah mendengar kerajaan Malaysia memohon maaf kepada Indonesia berhubung kes-kes terdahulu," katanya kepada kompas.com.

Semalam, kira-kira 300 penunjuk perasaan yang digelar sebagai Laskar Merah Putih membakar bendera Malaysia semasa mengadakan bantahan di hadapan Kedutaan Malaysia.

Demonstrasi tersebut diadakan ekoran laporan media yang menyatakan tiga pekerja Indonesia dari Nusa Tenggara ditembak mati oleh pihak polis Malaysia kerana terbabit dengan jenayah sebelum ini.

Penunjuk perasaan turut membawa kain rentang yang tertulis tiga tuntutan iaitu Laskar Merah Putih mengecam Perdana Menteri Malaysia atas kematian tiga pekerja Indonesia (yang terbabit dengan jenayah), kerajaan Indonesia perlu melindungi pekerja Indonesia di luar negara dan Indonesia Tanah Airku, Tanah Tumpah Darahku.

Kira-kira 200 anggota polis yang dikerah mengawal kedutaan berkenaan turut digasak kumpulan itu yang melaungkan slogan Ganyang Malaysia dan Merdeka, Hidup Indonesia, Hidup Laskar Merah Putih. - AGENSI

No comments:

Post a Comment