My Add

Friday 18 May 2012

Kehancuran bangsa dalam karya sastera wajar jadi teladan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia menjadikan sejarah kehancuran bangsa dan negara yang banyak dipaparkan dalam karya-karya sastera klasik Melayu serta tamadun lain sebagai teladan.

Menurutnya, kisah seumpamanya harus dijadikan peringatan agar Malaysia tidak terjerumus dalam kancah perebutan kuasa yang tidak demokratik terutama melalui pelbagai muslihat kotor dan tidak beretika.

Beliau turut menyeru rakyat negara ini agar menolak segala bentuk anasir dan tindak tanduk melampau yang sengaja dicetuskan oleh sesetengah pihak yang cemburu terhadap keharmonian rakyat pelbagai keturunan di negara ini.

''Peristiwa ini banyak dipaparkan dalam buku seperti Hikayat Tiga Negara dan sejumlah karya klasik Melayu dan kita lihat banyak pihak yang akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh apabila timbul huru-hara. Justeru sewajarnya kita jadikan ia sebagai teladan ,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran buku karya Agung, Hikayat Tiga Negarayang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan dan Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Goh Hin San di DBP, di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat negara ini agar tidak memandang ringan keutuhan perpaduan agar ia tidak mudah dimusnahkan oleh gerakan atau tindakan yang tidak bertanggungjawab.

''Banyak pihak yang mencemburui kejayaan Malaysia sehingga ada yang beria-ia hendak menidakkannya dengan pelbagai gelagat yang berniat jahat dan tohmahan yang tidak berasas,'' katanya.

Justeru beliau berkata, rakyat harus memastikan ia tidak dirosakkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

''Tolak apa juga bentuk ketaksuban dan ekstremisme demi memastikan bangsa dan negara kita tetap aman, stabil dan maju,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara yang diolah dalam karya-karya klasik Melayu dan China seperti Hikayat Tiga Negara merupakan nilai luhur yang seharusnya dipertahankan.

''Ia adalah nilai dan amalan abadi untuk kestabilan masyarakat dan negara, dan sebarang usaha untuk menidakkan kesetiaan kepada raja dan negara hendaklah dihindari oleh semua pihak yang cinta kepada kestabilan negara,'' tegas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin mencadangkan agar para cendekiawan dan budayawan bekerjasama dengan DBP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbanyakkan wacana intelektual berkaitan falsafah dan pemikiran bangsa-bangsa dunia yang terdapat dalam karya agung masing-masing.

Beliau yakin melalui wacana, hasil kajian dan gagasan yang menjurus pembinaan kegemilangan negara bangsa dapat dijana sebaik mungkin.

Sementara itu, buku Hikayat Tiga Negara ialah terjemahan novel San Guo Yan Yi, sebuah karya agung dalam kesusasteraan klasik China yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa pelbagai seperti Perancis, Jepun , Itali, Rusia dan Thailand.

Buku itu berkisar fakta dan latar belakang sejarah pemberontakan, kejatuhan dan kebangkitan tiga negara iaitu Wei, Shu dan Wu yang sentiasa berperang bermula tahun 220 Masihi dan berakhir pada 280 Masihi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment