My Add

Saturday 26 May 2012

Kenyataan Karpal Singh dilihat berniat jahat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Mei, 2012: Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyuarakan hasratnya untuk melihat seorang calon bukan Melayu menjadi Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa, dilihat sebagai berniat jahat.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, ia juga sebagai satu usaha untuk menimbulkan rasa marah orang Melayu dan bumiputera yang menjadi tonggak utama negara ini.

"Saya percaya kenyataan itu berniat jahat. Kita perlu ingat serta faham bahawa Melayu dan bumiputera adalah kelompok majoriti di negara ini. Jadi, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, tentulah majoriti kekal dalam konvensyen iaitu undang-undang tak bertulis bahawa orang Melayu paling layak menjadi Perdana Menteri.

"Kita juga tahu dalam negara ini Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai pemegang amanah kepada Islam dan sentiasa memerlukan orang beragama Islam untuk memastikan dasar-dasar dan pelaksanaan syariah dilaksanakan.

"Orang Islam itu ditafsirkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Melayu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ketegasan Karpal yang akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Menurut Rahim, Malaysia berbeza dengan negara-negara lain khususnya Amerika Syarikat (AS) dalam kelompok rumpunan bangsa dan pegangan agama.

"Di AS, walaupun mereka berkulit hitam atau putih, mereka adalah serumpun dari segi agama. Maka ia tidak memiliki halangan untuk pelantikan ketua negara.

"Berlainan dengan negara ini dengan keperluan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab syariah serta kepentingan orang Melayu. Maka keperluan Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu dan Islam adalah wajib. Jangan kita persoalkan perkara itu," tegas beliau.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah melontarkan beberapa persoalan terhadap Pas khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan Karpal itu.

"Kita perlu tanya kedua-dua pemimpin Pas itu, adakah mereka setuju dengan pandangan Karpal? Apakah Pas setuju dengan DAP yang mahukan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia? Jika berdiam, seolah-olah mereka setuju dengan perkara tersebut," katanya.

Beliau turut melontarkan persoalan kepada kepimpinan tertinggi DAP yang majoritinya bukan Melayu sama ada mereka bersedia untuk menerima Melayu sebagai 'ketua' mereka dalam parti itu.

"Saya melihat kenyataan Karpal itu adalah usaha untuk menimbulkan ketegangan hubungan kaum dan mencabar kontrak sosial," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment