My Add

Sunday 20 May 2012

Kenyataan Tunku Abdul Aziz sokong Najib dihargai

PAGOH, SABTU, 19 Mei, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai kenyataan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menyatakan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus disokong dan diberi peluang untuk menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan.

Menurut beliau, kenyataan itu menunjukkan bekas Naib Pengerusi DAP itu memahami situasi dalam negara dan seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat sendiri untuk menyokong usaha kerajaan.

"Saya yakin kenyataan yang dibuat Tunku Abdul Aziz memang rasional kerana kepimpinan Barisan Nasional (BN) telah mengambil anjakan dan transformasi yang berjalan dengan lancar dan sepatutnya diberi ruang untuk diteruskan sampai ia terlaksana sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang.

"Mungkin dia sudah sedar DAP bukan parti yang memperjuangkan demokrasi sebenar, tetapi mengamalkan kuku besi dan pemimpinnya terlalu berlagak kerana berpendapat masyarakat Cina tertarik dengan mereka," katanya kepada pemberita di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas muka hadapan Utusan Malaysia hari ini berhubung seruan Tunku Aziz yang mahu rakyat menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan menolak cara berpolitik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyempurnakan majlis perasmian Karnival Kerjaya di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, sebelum beramah mesra dengan bersarapan bersama penduduk Kampung Jangka Beringin dekat sini.

Beliau kemudian menyertai majlis tahlil hari Ulang Tahun Ke-66 UMNO di Masjid Kampung Raja dekat sini, sebelum menghadiri program Majlis Mesra Rakyat di Dataran Sebelah Maybank, pekan Pagoh dan seterusnya menghadiri pelancaran buku mengenai bapanya, Tuan Guru Haji Mohd. Yassin: Tokoh Ilmuwan Islam Terbilang di pekarangan Masjid Sultan Ibrahim Muar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment