My Add

Tuesday 22 May 2012

Keputusan Anwar halang Zainul Rijal wakili kes qazaf 10 Sept.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Keputusan sama ada peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar boleh mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain dalam kes qazaf dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui pada 10 September depan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Syariah diketuai Datuk Zohdi Toha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam syarie mewakili kedua-dua pihak hari ini.

Mahkamah memerintahkan Anwar selaku plaintif dan responden, Zainul Rijal menghantar hujahan bertulis masing-masing sebulan sebelum tarikh keputusan itu iaitu pada atau sebelum 10 Ogos ini.

Zohdi bersidang bersama Hakim Syarie, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun.

Pada prosiding hari ini, Anwar, 64, yang diwakili peguam syarie, Dr. Mohd. Rafie Shafie dan Dorina Abdullah tidak hadir ke mahkamah manakala Zainul Rijal hadir bersama peguam syarie, Abdul Halim Bahari dan Roslizam Rahim.

Terdahulu, Mohd. Rafie memaklumkan, anak guamnya tidak hadir kerana tiada kelapangan, bagaimanapun Abdul Halim menganggap alasan dikemukakan perayu adalah tidak wajar dan memohon mahkamah mengeluarkan amaran terhadap Ketua Pembangkang itu.

Pada 18 Ogos tahun lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk menghalang Zainul Rijal daripada mewakili tiga responden berhubung rayuan kes pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Responden tersebut ialah Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali; dan Jamil Khir.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan itu atas alasan Zainul Rijal sebagai peguam syarie didakwa telah berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur dan tidak berniat baik untuk menegakkan keadilan.

Selain itu, Anwar mendakwa wujud percanggahan atau kepentingan bagi pihak peguam syarie tersebut.

Pemimpin pembangkang itu dalam afidavitnya antara lain memohon kos permohonan itu ditanggung oleh defendan dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 14 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan Anwar supaya pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan diperintahkan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd. Saiful Bukhari.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar memfailkan rayuan pada 23 April tahun sama.

Pertuduhan qazaf membawa maksud membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki.

Kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment