My Add

Friday 11 May 2012

Keputusan Bush dan sekutu lakukan jenayah perang esok

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur menetapkan esok untuk memutuskan sama ada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W.Bush dan sekutunya, bersalah melakukan jenayah perang. 

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, yang mengetuai korum tribunal itu bersama empat yang lain, mengumumkan perkara itu hari ini selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan dan pasukan pembelaan.

Lamin berkata, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Bush; bekas naib presiden AS Dick Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld; bekas penasihat Bush, Alberto Gonzales; bekas penasihat utama kepada Cheney, David Addington; bekas penasihat utama kepada Rumsfeld, William Haynes, Penolong Peguam Negara ketika itu Jay Bybee dan John Yoo, bekas Timbalan Penolong Peguam Negara.

Jason Kay, yang dilantik 'amicus curae' (rakan mahkamah) untuk mewakili tertuduh, memberitahu tribunal bahawa mereka tidak mempunyai saksi dan tribunal boleh membuat keputusannya. 

Terdahulu, Kay berhujah bahawa undang-undang antarabangsa berubah selepas Perang Dunia II dan tragedi 11 September. 

"Penderaan adalah okay selepas 11 September, selepas usaha memerangi keganasan dilancarkan. Dunia berubah, undang-undang antarabangsa telah berubah kepada yang lebih baik atau lebih teruk," kata Kay. 

Diketuai Prof Gurdial Singh Nijar, pihak pendakwaan menjawab bahawa hujahan Kay tidak kukuh mengikut undang-undang dan perlu ditolak. 
"Ketetapan undang-undang adalah jelas. Larangan terhadap penderaan adalah mutlak," katanya. 

Di samping Lamin, korum tribunal dianggotai Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Profesor Salleh Buang dan Datuk Mohd Saari Yusuf. 

Pada prosiding tersebut, tiga saksi iaitu Abbas Abid, Moazzam Begg dan Jameelah Hameedi memberikan keterangan mengenai penderaan yang dilakukan ke atas mereka oleh tentera AS. 

Selain itu, akuan bersumpah oleh Ali Shalal dan Rhuhel Ahmed turut dibacakan dan diserahkan kepada tribunal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment