My Add

Sunday 20 May 2012

Kerajaan Pusat peruntuk RM10.4j bekal air bersih di Kelantan

*MUSRAPA (kiri) beramah mesra dengan penerima Anugerah Tokoh Jururawat 2012, (dari kanan) Che Rose Hassan, Noraini Yakob, dan Hasmah Sulaiman, selepas penyampaian anugerah itu pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tanjung Chat, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

PASIR PUTEH, AHAD, 20 Mei, 2012: Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM10.4 juta untuk membekalkan air bersih kepada 4,639 penduduk di Kelantan sepanjang tahun ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, peruntukan itu adalah yang tertinggi di Semenanjung.

"Ia dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu menyambung bekalan ke paip Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pembinaan telaga tiub dan penyaluran air dari sumber bukit," katanya pada majlis penyerahan projek bekalan air di Kampung Nara di sini hari ini.

Mustapa berkata, sepanjang tahun lepas, kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM16.5 juta bagi tujuan yang sama, melibatkan 7,868 buah rumah.

Katanya jumlah itu tidak termasuk peruntukan RM600 juta yang diberi oleh kerajaan pusat di bawah pinjaman mudah.

Beliau, bagaimanapun berkata, masalah air masih gagal ditangani oleh kerajaan negeri sehingga sekarang walaupun diberi peluang lebih 22 tahun memerintah Kelantan.

Katanya, kegagalan itu bukan sahaja menyusahkan rakyat untuk membersihkan diri, membasuh dan kegunaan minuman seharian bahkan sampai ke tahap menyukarkan urusan memandikan jenazah.

Selain itu, Mustapa berkata, terdapat juga penduduk yang menghidap penyakit apabila terpaksa menggunakan air dari perigi, sawah dan sungai yang tercemar.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan tujuh penduduk di Kampun Nara terpaksa dirawat di Hospital Tengku Anis Pasir Puteh selepas menghidap demam panas kerana dipercayai menggunakan air telaga, tahun lepas.

Katanya, masalah itu akan diatasi jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment