My Add

Saturday 12 May 2012

Kerjasama pekerja, majikan, kerajaan perlu diperkukuh: PM

*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersalaman dengan sebahagian hadirin pada Perhimpunan Hari Pekerja di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - Foto Chan Wai Yew


SERDANG: Datuk Seri Najib Razak mahu kerjasama erat antara pekerja, majikan dan kerajaan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan produktiviti dan menjayakan agenda transformasi negara.

Perdana Menteri berkata, aspek itu adalah nadi utama dalam menyuburkan konsep situasi yang menguntungkan semua tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.
"Saya penuh yakin dengan kerjasama ketiga-tiga pihak antara pekerja, majikan dan kerajaan maka kita akan terus kukuh membentuk persefahaman dan kesepakatan jitu ke arah mewujudkan suasana dan perhubungan harmoni dan kondusif," katanya pada perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang diadakan di sini, hari ini.

Najib berkata, sekiranya ketiga-tiga pihak mempunyai hubungan yang cukup baik dan padu, sudah pasti usaha mentransformasi negara akan berjalan lancar.

Hadir bersama ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Timbalannya, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah; Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman; Presiden MEF, Datuk Azman Shah Haron; dan Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.

Najib berkata, dalam ekonomi dunia yang tidak menentu dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat di kebanyakan negara, Malaysia mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1 peratus tahun lalu.

Katanya, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa persefahaman dan kesepakatan antara ketiga-tiga pihak.

Najib berkata, ia juga memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk berani melaksanakan pelbagai program dan pembaharuan termasuk, kenaikan gaji pekerja sektor awam dari tujuh hingga 13 peratus, gaji minimum pekerja sektor swasta RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Pekerja dapat mengecapi tahap hidup yang lebih baik lagi, pendapatan yang lebih tinggi dan kemudahan-kemudahan yang lebih selesa kerana kita telah dapat mengurus pentadbiran negara serta membuktikan dasar-dasar yang telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang boleh dikatakan memberangsangkan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga berjaya mengawal kadar pengangguran di negara ini di bawah tiga peratus, iaitu suatu angka yang didefinisikan sebagai mencapai guna tenaga penuh.

Dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan semua pekerja dipelihara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memberikan pelbagai inisiatif kepada sektor swasta seperti mana sektor awam untuk meningkatkan nilai tambah mereka dalam usaha melahirkan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.

"Ini amat penting kerana kita tidak boleh bersaing dengan aspek kos buruh yang rendah dalam negara ini. Kita mesti menambahkan daya saing negara kita, bukan melalui subsidi daripada kerajaan," katanya.

Katanya, syarikat dan organisasi perlu meningkatkan produktiviti dan daya saing dengan menggunakan segala kelebihan yang ada termasuk teknologi tinggi dan peluang perniagaan yang disediakan agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, beliau gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berjaya mengumpul pendapatan sebanyak RM23 bilion tahun lalu.

"Ini adalah contoh produktiviti mantap yang mana jabatan dan agensi lain perlu menambahkan produktiviti mereka. Dengan ini kita boleh membayar gaji yang lebih tanpa menjejaskan ekonomi negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment