My Add

Monday 21 May 2012

Kes PKFZ: Perbicaraan Chan Kong Choy tangguh 31 Oktober

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes tipu bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan ke 31 Oktober depan selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan. 

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu mahkamah bahawa pejabat peguam Negara masih belum membuat keputusan mengenai representasi pihak pembelaan dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk membuat keputusan muktamad berhubung permohonan berkenaan.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim, yang juga hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang ditugaskan mengendalikan perbicaraan kes itu berkata mengikut rekod mahkamah, ini adalah permohonan penangguhan kali ketiga.

"Dengan ini, mahkamah menetapkan tarikh 31 Oktober sebagai tarikh terakhir. Selepas ini, saya tetap akan menjalankan perbicaraan sekiranya keputusan representasi yang dibuat tidak memihak kepada pihak pembelaan," katanya. 

Zamani juga dengan sinis berkata beliau tidak mahu sesiapa mempunyai tanggapan bahawa beliau 'makan angin' setiap kali hadir di mahkamah Kuala Lumpur berikutan terpaksa menangguh perbicaraan berkenaan. 

Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan pihak pembelaan supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu, dan satu lagi permohonan Chan supaya salah seorang daripada tiga hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur untuk mendengar kes berkenaan. 

Chan dihadapkan ke mahkamah pada 28 Februari 2011 terhadap tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan memperdayakan Abdullah bagi meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk menjalankan pembangunan projek hab penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion. 

Chan, 57, didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta pembiayaan kos pembangunan akan dibiayai melalui bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Berhad dengan sokongannya sebagai Menteri Pengangkutan. 

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya. 

Chan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment