My Add

Tuesday 8 May 2012

Kes saman peneroka Felda ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA, SELAA, 08 Mei, 2012: Kes saman 273 penduduk Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan terhadap sebuah firma guaman berhubung pertikaian berkaitan pembayaran ganti rugi mencecah RM12 juta, dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Demikian keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim selepas membenarkan rayuan peneroka-peneroka tersebut.

Dengan itu, kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak saman mereka pada 2 Oktober tahun lalu. Firma guaman itu mempunyai 14 hari untuk memfailkan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan firma guaman itu membayar kos RM10,000.

Rayuan ditetapkan hari ini berikutan keputusan satu panel lain pada 25 April lalu yang menolak permohonan firma Tetuan Wan Rohimi & Asmadi untuk membatalkan rayuan penduduk-penduduk berkenaan.

Firma tersebut merupakan syarikat guaman yang mengendalikan kes saman kumpulan peneroka itu terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan dua pihak lagi berhubung urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Peneroka-peneroka tersebut diwakili oleh peguam-peguam Mohd. Yaacob Bakanali bersama-sama Azmer Md. Saad manakala firma guaman itu diwakili oleh Yusfarizal Yussoff. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment