My Add

Sunday 20 May 2012

Keyakinan pelabur AS terhadap Malaysia

NEW YORK, SABTU, 19 Mei, 2012: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) di kota New York minggu ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar lebih lapan juta penduduk pusat kewangan terbesar dunia ini.

Namun, lawatan kerja Perdana Menteri ke New York dari Rabu hingga Jumaat minggu ini mungkin sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh kalangan komuniti perniagaan di New York yang sedang atau berminat untuk melabur di Malaysia.

Justeru, satu pertemuan diatur untuk mempertemukan pemimpin nombor satu Malaysia itu dengan para pemimpin syarikat korporat Amerika Syarikat (AS) yang tersenarai dalam Fortune 500.

Tempat yang dipilih untuk mengadakan pertemuan itu pula adalah sangat berprestij iaitu The Harvard Club of New York, yang dibuka sejak 1865, dengan keanggotaan terdiri daripada mereka yang pernah menuntut di menara gading tersohor Amerika, Universiti Havard.

Senarai nama syarikat korporat yang menghantar wakil ke pertemuan itu juga tidak kurang gahnya, antaranya ConocoPhilips, Boeing, Citi Group, Darden, AIG-Chartis, Guardian Industries, Eastman Chemical, Symmetry Medical, Ace Group dan Crest Group.

Dalam ucapannya, Najib memperjelaskan kepada mereka bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang teguh iaitu 5.1 peratus pada 2011, yang melebihi unjuran dan Bank Negara Malaysia sekali lagi mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4 dan 5 peratus di sebalik krisis hutang zon euro dan pertumbuhan perlahan dalam kalangan rakan dagang utama Malaysia.

"Berikutan rizab kami pada tahap selesa, hutang luaran yang rendah dan aliran sihat dalam pelaburan langsung asing (FDI), saya yakin ekonomi Malaysia akan kekal utuh," katanya.

Dalam persekitaran luaran yang mencabar dan berdepan dengan saingan global yang sengit, Malaysia terus merupakan lokasi FDI yang berdaya saing dari segi kos dengan jumlah pelaburan keseluruhan pada 2011 meningkat 36.7 peratus kepada US$46.9 bilion berbanding US$34.3 bilion tahun sebelumnya.

Ketika ditemui pemberita kemudian dan diminta mengulas maklum balas yang diterimanya daripada kalangan tokoh korporat Amerika, Najib berkata beliau melihat mereka yakin dengan peluang yang boleh mereka peroleh di Malaysia.

Mereka juga berpuas hati dengan dasar yang dilaksanakan serta proses kelulusan dan insentif yang diberi oleh kerajaan.

"Maknanya Malaysia tetap merupakan sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kuat untuk menarik pelabur di luar negara.

"Ini dapat disahkan melalui ranking kita yang disahkan badan-badan peringkat antarabangsa dan dalam pertemuan dengan komuniti perniagaan asing," katanya.

Namun, menurut Perdana Menteri, kerajaan masih memerlukan maklum balas daripada mereka supaya apa yang telah dilakukan boleh dilakukan penambahbaikan.

"Dengan cara seperti ini kita akan berada di barisan hadapan dari segi kemampuan negara kita untuk bersaing dengan negara-negara lain untuk menarik pelaburan dari luar, FDI untuk Malaysia," kata beliau.

Walaupun keyakinan para pelabur Amerika terhadap iklim pelaburan di Malaysia masih utuh, namun Najib mengingatkan bahawa masih terdapat beberapa halangan yang boleh mempengaruhi keputusan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Salah satu daripada halangan yang disebut oleh para pelabur ialah betapa pentingnya skills set di kalangan rakyat Malaysia, terutama sekali dari peringkat kelulusan Sarjana dan kedoktoran (PhD).

"Maka kalau kita mengarahkan jurutera maka jurutera itu patut diberi kemahiran yang lebih tinggi supaya dapat mengendalikan pekerjaan bernilai tinggi.

"Maka, menghasilkan set kemahiran yang betul adalah penting kepada tahap pertumbuhan yang seterusnya bagi Malaysia," kata Najib.

Najib berada di sini untuk mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi (GSIAC) di New York Academy of Sciences.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kemudian berlepas dari New York ke Washington D.C. pada Jumaat untuk menamatkan lawatan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment