My Add

Sunday 13 May 2012

KMJ istimewa dan unik - Perdana Menteri

KULAIJAYA, AHAD, 13 Mei, 2012: Perdana Menteri menyifatkan program jelajah Kembara Mahkota Johor 2012 selama empat hari bermula hari ini yang merentasi perjalanan sejauh 1,012 km di Johor sebagai sesuatu yang amat istimewa dan unik.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, Kembara Mahkota Johor telah berjaya merapatkan hubungan di antara Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

"Kembara Mahkota Johor merupakan suatu program yang istimewa dan unik kerana program seumpama ini tidak terdapat di negeri-negeri lain. Ia menunjukkan Sultan Johor amat mengambil berat tentang rakyatnya," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor 2012 yang dihadiri oleh ribuan rakyat pelbagai bangsa di TJ Mart, Saleng, di sini.

Perdana Menteri yang tiba di Johor Baharu petang semalam turut melepaskan konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor 2012 yang diketuai oleh Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Najib berkata program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada Sultan Johor meninjau perkembangan terkini rakyatnya di seluruh ceruk pelosok negeri.

"Saya percaya tiada perkembangan (tentang rakyat Johor) yang tidak diketahui oleh baginda Tuanku," katanya sambil menambah, program Kembara Mahkota Johor juga selaras dengan falsafah gagasan 1Malaysia iaitu “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan."

Rakyat Johor, katanya, amat bertuah kerana memiliki seorang Sultan yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau merasa amat terhormat kerana telah diminta oleh Sultan Johor melepaskan peserta Kembara Mahkota Johor pada tahun ini.

Sambil berseloroh, Najib berkata, menaiki motosikal besar bukanlah bidang kemahirannya dan oleh kerana itulah beliau telah mengarahkan dua menteri kabinetnya mengiringi Sultan Johor sepanjang konvoi Kembara itu.

Dua menteri kabinet terbabit, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai Kembara Mahkota Johor 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment