My Add

Saturday 5 May 2012

Konsep 1Malaysia relevan


*TENGKU Razaleigh Hamzah menyampaikan ucapan pada Karnival Komuniti 1Malaysia di Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG JUMAAT, 04 Mei, 2012: Slogan 1Malaysia mampu kekal relevan sekiranya ia terus dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pelaksanaannya mesti berdasarkan toleransi dengan menerima kepelbagaian perbezaan dalam masyarakat.

"Negara kita, rakyatnya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan semangat perpaduan antara kaum itu dapat dilaksanakan dengan jitu dan padu dalam negara ini di bawah slogan 1Malaysia.

"Saya percaya 1Malaysia tidak akan tinggal slogan sekiranya ia dilaksana dengan mengambil kira semua kaum," katanya berucap pada majlis perasmian Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik, di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, kemajuan negara boleh dilaksanakan dengan cara yang lebih spesifik melalui semangat 1Malaysia asalkan rakyat bijak mendokong semangat perpaduan dengan saksama antara satu sama lain.

"Kita mesti jauhkan daripada sifat dendam, kita hendaklah patuh kepada larangan terhadap perkara-perkara yang boleh mencetuskan suasana tidak baik di kalangan rakyat," ujarnya.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan hubungan kaum dalam negara ini berjalan dengan rasa penuh kasih sayang demi mengekalkan keamanan rakyat dan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment