My Add

Thursday 10 May 2012

Kualiti pendidikan diutamakan


*MUHYIDDIN (tengah) dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan) beramah mesra dengan pelajar ketika melawat Sekolah Al Mushrif di Abu Dhabi, semalam. Turut kelihatan, Pengarah Eksekutif sekolah berkenaan, Mohamed Salem Al Dhaheri (berdiri, tiga dari kiri) - BERNAMA

Mohd. Khuzairi Ismail
ABU DHABI, RABU, 09 Mei, 2012: Usaha ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara supaya setanding dengan standard antarabangsa sentiasa menjadi keutamaan serta matlamat utama Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga percaya perkara itu turut menjadi tumpuan negara-negara lain di seluruh dunia sebagai satu strategi penting seiring dengan persekitaran global yang kompetitif.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin di sesebuah negara untuk memastikan generasi muda dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran pada zaman mereka.

"Kerana itu saya percaya sistem pendidikan perlu sentiasa berubah untuk kekal selari dengan perubahan global serta pada masa sama menepati aspirasi nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leading Across-How Do Effective Government Leaders Engage Across Sectors pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) 2012 di sini hari ini.

TES 2012 merupakan persidangan pendidikan eksklusif julung kali diadakan yang penyertaannya hanya dibuat menerusi jemputan oleh penganjurnya iaitu Majlis Pelajaran Abu Dhabi (ADEC) yang dinaungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Ia disertai seramai 200 delegasi dari seluruh negara terdiri daripada pemimpin negara, ahli akademik dan penggiat di sektor swasta dengan fokus menjurus kepada meningkatkan kualiti pendidikan dalam arus kemodenan dunia hari ini.

Muhyiddin menambah, semua pihak dalam pelbagai sektor memikul tanggungjawab secara bersama ke arah memastikan sistem pendidikan mampu mencapai taraf dunia dengan peranan utama dimainkan pemimpin kerajaan yang efektif.

Katanya, setiap pandangan daripada pelbagai sektor itu perlu dialu-alukan sebagai sokongan dalam membantu kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan di sesebuah negara.

"Dalam hal ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada ADEC kerana menganjurkan persidangan pendidikan yang sangat bermakna ini.

"Ia perlu dijadikan platform kepada semua pihak yang terlibat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan ke arah meningkatkan kualiti pendidikan," katanya.

Sementara itu, dalam satu program berasingan, Muhyiddin berkata, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kemampuan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan pelajar bagi meningkatkan peluang generasi muda bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kita sudah biasa dengan sistem pendidikan dwibahasa dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Al-Mushrif yang merupakan sekolah perintis di Abu Dhabi yang memperkenalkan sistem pendidikan tiga bahasa iaitu bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin sebagai bahasa pengantar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment