My Add

Sunday 6 May 2012

Kurangkan beban bayar tol

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

TAMPIN, SABTU, 05 Mei, 2012: Beberapa syarikat konsesi lebuh raya telah tampil mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mengurangkan beban tol yang dihadapi oleh para pengguna di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, antara cadangan itu ialah menghapuskan bayaran tol, mengurangkan bayaran tol, tidak menaikkan kadar tol untuk tempoh tertentu dan mengambil alih syarikat konsesi.

Beliau berkata, semua cadangan itu sedang dinilai oleh kementeriannya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk membuat keputusan.

"Saya gembira kerana syarikat konsesi lebuh raya telah menunjukkan sikap positif dengan tampil mengemukakan cadangan.

"Ini menunjukkan ada syarikat yang benar-benar memahami aspirasi kerajaan dan mahu keharmonian dari segi lebuh raya itu dapat dijaga dengan sebaik mungkin.

"Mereka tidak duduk diam sahaja tetapi mencari jalan yang boleh membantu rakyat dan kerajaan, dan pada masa tidak pula rugi kerana mereka juga perlu bertanggungjawab kepada para pemegang saham," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kem Syed Sirajuddin Bersama Warga Tampin di Gemas dekat sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan syarikat konsesi yang telah menyerahkan cadangan itu kerana syarikat-syarikat tersebut terikat kepada peraturan tertentu seperti bursa saham dan para pemegang saham.

Menurutnya, cadangan yang diterima itu ada yang munasabah dan boleh diberi pertimbangan jika ia menguntungkan rakyat, tidak membebankan kewangan kerajaan dan tidak merugikan syarikat konsesi.

''Tetapi ada juga cadangan yang ditolak kerana tidak boleh dilaksanakan sama sekali.

''Semua cadangan itu akan dinilai secara berasingan kerana ia perlu disesuaikan dengan kemampuan kerajaan. Ia bukan mudah kerana pertimbangan perlu diberikan kepada kesan daripada tindakan yang bakal diambil," ujarnya.

Shaziman menarik perhatian, sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau telah diminta menumpukan usaha mencari jalan mengurangkan bebanan bayaran tol oleh rakyat.

Hasil daripada itu tambahnya, empat plaza tol telah dimansuhkan sejak 2009 manakala kadar tol lebuh raya milik Kumpulan PLUS Expressway Berhad dan Kumpulan MTD telah distruktur semula serta pemberian diskaun dan rebat oleh beberapa lagi syarikat konsesi.

Jelasnya, kerajaan akan terus terbuka kepada cadangan dan tidak menetapkan tempoh masa bagi syarikat konsesi berbuat demikian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment