My Add

Thursday 17 May 2012

Lebih 3,000 ahli kesatuan sekerja bersama Muhyiddin Selasa

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012:: Lebih 3,000 ahli kesatuan sekerja seluruh negara akan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Selasa depan.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia hari ini, perhimpunan itu akan menyatukan ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), kesatuan kebangsaan daripada sektor awam dan swasta serta kesatuan dalaman daripada sektor swasta, awam dan berkanun.

"Perhimpunan itu adalah salah satu wadah pertemuan antara kesatuan sekerja dan pemimpin negara bagi membantu membina kefahaman kesatuan mengenai peranan kesatuan sekerja dalam proses transformasi negara.

"Perhimpunan ini juga mengharapkan kesatuan sekerja dapat memainkan peranan menjayakan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020," menurut kenyataan itu lagi.

Pada perhimpunan itu, Muhyiddin dijangka memperjelaskan dasar kerajaan kepada ahli kesatuan sekerja, selain menyediakan platform kepada pemimpin dan ahli kesatuan sekerja untuk menyuarakan pendapat, idea dan luahan hati mereka kepada kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment