My Add

Thursday 3 May 2012

Lelaki cedera ditembak, ditetak

KOTA BHARU, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Seorang lelaki cedera apabila ditembak dari jarak dekat dan ditetak oleh seorang lelaki di Taman Sentosa Jaya, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Badang, di sini, hari ini. 

Mohd Nasrur Alimi Mohamad, 35, dari Kampung Raja, Jertih Terengganu ditembak di betis dan diserang dengan senjata tajam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata kejadian pada jam 10 pagi itu berlaku ketika Mohd Nasrur keluar dari sebuah kedai selepas membeli kad prabayar dan gula-gula.

"Siasatan awal mendapati suspek memakai helmet dan jaket hitam dan polis turut menjumpai empat kelongsong peluru 9mm dan satu anak peluru di tempat kejadian," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini. 

Beliau berkata, sehubungan itu, polis sedang mengesan dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Kelisa berwarna perak. 

Saksi kejadian, Nor Khairun Nisha Mohd Yusof, 22, berkata ketika kejadian dia berada di dalam kedai membantu ibunya, Azizah Yusof, 49. 

"Saya dengar bunyi letupan sebanyak tiga kali dan keluar melihatnya. Saya tergamam apabila melihat Abang Yo (panggilan kepada Mohd Nasrur) yang baru keluar daripada kedai selepas membeli kad prabayar, ditetak oleh seorang lelaki yang memakai helmet dan berjaket hitam.

"Penjenayah itu juga turut mengacukan senjata tajam kepada ibu sebagai amaran dan melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri selepas mencederakan Abang Yo," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment