My Add

Wednesday 9 May 2012

Lelaki dan wanita ditahan reman kes pukul peninju negara

JOHOR BAHARU, RABU, 09 Mei, 2012: Seorang lelaki dan wanita berusia 20-an dan 30-an ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memukul peninju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron yang masih dirawat di Hospital Pakar Puteri, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata hingga kini lapan percakapan sudah direkod manakala tujuh lagi individu masih dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 149 kanun yang sama.

"Polis masih menyiasat sama ada ia membabitkan dendam atau tidak," katanya di sini, hari ini sambil menambah polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau berjanji polis tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan kes itu.

Muhamad Farkhan, 24, yang pernah memenangi pingat emas untuk Malaysia pada Sukan SEA Laos 2009 mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dipukul sekumpulan lelaki di Taman Molek, di sini, awal Ahad lalu.

Atlet kelahiran Johor itu dikatakan diserang selepas menonton perlawanan akhir Piala FA antara Chelsea dan Liverpool bersama-sama rakannya.

Mohd Mokhtar berkata, polis mengenal pasti tujuh individu yang terbabit dalam dan menggesa mereka menyerahkan diri segera.

Ditanya sama ada salah seorang daripada mereka yang terbabit itu adalah anak seorang kenamaan, beliau berkata, siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas.

Difahamkan dua lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di sini sejak Ahad lalu.

Keterangan daripada peninju negara itu masih belum diperoleh berikutan kecederaan tulang rahang yang dialami menyebabkan dia sukar untuk bercakap.

Polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment