My Add

Thursday 17 May 2012

Lelaki maut kereta rempuh bas yang elak takungan air

KUANTAN, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres yang mengelak takungan air di Km29 Jalan Kuantan-Gambang dekat Gambang malam tadi.

Mangsa, Lum Min Soon, 20, mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. 

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 8 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju Gambang. 

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu bas ekspres yang berusia 58 tahun tersebut cuba mengelak takungan air di sebelah kiri jalan.

"Bas ekspres berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan dan pada masa yang sama merempuh kereta yang dipandu mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mohamed Fauzi berkata pemandu bas ekspres terbabit tidak cedera dan ketika kejadian juga tiada penumpang di dalam bas tersebut. 

"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment