My Add

Wednesday 16 May 2012

Loji LNG Sungai Udang lonjak pendapatan

Oleh Suffian A Bakar
PETRONAS Gas Bhd menjangkakan memperoleh pendapatan tambahan 10 peratus setahun apabila loji pemprosesan semula gas asli cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka beroperasi sepenuhnya akhir tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Anuar Ahmad, berkata kemudahan bersepadu yang direka untuk menerima, menyimpan dan memproses semua LNG kepada gas itu akan memiliki keupayaan menghasilkan sehingga 530 juta standard kaki padu gas sehari (mmscfd) atau 3.8 juta tan gas setahun.

“Loji pemprosesan semula LNG pertama negara itu dijangka memulakan khidmatnya kepada pelanggan kami September ini. Ia dijangka mencapai keupayaan penuhnya pada akhir 2013.

“Kami menganggarkan pendapatan tambahan 10 peratus daripada kemudahan itu apabila ia beroperasi sepenuhnya pada akhir 2013,” katanya pada sidang selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif Petronas Gas, Samsudin Miskon dan Pengurus Besar Kewangannya, Karima Mohd Noor.

Anuar berkata, dengan adanya kemudahan itu LNG kini boleh diimport ke Malaysia dari pelbagai sumber dari seluruh dunia dan memprosesnya ke dalam bentuk gas sebelum menyalurkannya ke dalam sistem saluran paip gas Semenanjung (PGU).

Projek itu membabitkan tiga pakej. Pakej pertama terdiri daripada dua unit penyimpanan terapung bagi menerima dan menyimpan LNG, pakej kedua meliputi jeti dilengkapi unit pemprosesan semula LNG dan pakej ketiga membabitkan saluran paip dasar laut dan darat untuk mengangkut gas ke sistem PGU.
Sementara itu, Samsudin berkata kemudahan itu akan menjadi pintu masuk utama sumber gas yang di import dari luar negara, sekali gus menampung keperluan tenaga negara bagi merangsang pertumbuhan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menganggarkan perbelanjaan modal projek pembinaan terminal pemprosesan semula LNG di Lahad Datu, Sabah akan mencecah angka sekitar RM1 bilion.

Ia merangkumi kos pembinaan, pengambilalihan tanah dan pelaksanaan projek berkenaan, katanya.

Beliau berkata, kemudahan LNG itu akan memiliki keupayaan memproses 100 mmscfd gas.

Petronas Gas baru-baru ini menganugerahkan kontrak kepada Fluor Corp dari Texas untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk awal loji berkenaan.

Terminal baru itu yang dijangka siap pada 2015 akan membekalkan gas kepada loji jana kuasa berdekatan yang berkeupayaan menghasilkan 300 megawatt tenaga elektrik.

Petronas Gas mencatat untung bersih berjumlah RM1.080 bilion bagi tempoh sembilan bulan, dari 1 April 2011 hingga 31 Disember 2011, berdasarkan pendapatan berjumlah RM2.765 bilion. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment