My Add

Thursday 17 May 2012

Majlis Peguam perasan - Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
JAKARTA, RABU, 16 Mei, 201: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Majlis Peguam sebagai sebuah badan yang perasan seolah- olah majoriti rakyat bersetuju dengan pendirian mereka.

Nazri turut membidas Majlis Peguam yang menganggap diri mereka saling tidak ubah seperti wakil rakyat pembangkang yang bebas menentang apa sahaja cadangan yang disuarakan oleh kerajaan termasuk usaha baik untuk seluruh anggota masyarakat.

Nazri pada masa sama mempersoalkan, apa hak yang Majlis Peguam ada sehingga menolak mentah-mentah cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang yang bertujuan melindungi mereka yang memiliki latar belakang undang-undang tetapi tidak mengamalkannya.

"Majlis Peguam perasan. Mereka fikir seluruh rakyat setuju dengan mereka. Apa hak yang mereka ada untuk menolak (penubuhan Akademi Undang-Undang)? Mereka tidak ada kuasa untuk menghentikan kita (kerajaan) menubuhkan akademi.

"Yang saya timbulkan soal penubuhan Akademi Undang-Undang, bukannya membangkitkan soal penutupan Majlis Peguam. Kenapa mereka nak bising?" tegas Nazri kepada wartawan ketika ditemui di sini hari ini.

Nazri menjawab kenyataan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee semalam yang menolak cadangan kerajaan untuk menubuhkan Akademi Undang-Undang sebagai alternatif kepada badan itu.

Chee Wee mendakwa, pengumuman yang dibuat oleh Nazri itu menimbulkan persepsi bahawa cadangan itu dihidupkan semula apabila kerajaan berasa terancam oleh Majlis Peguam yang tidak bersetuju penyalahgunaan kuasa oleh polis pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mengulas persepsi yang dinyatakan oleh Chee Wee, Nazri sekali lagi membidas Presiden Majlis Peguam itu kerana memberikan kenyataan yang menjengkelkan.

Kata Nazri, tidak timbul isu kerajaan berasa terancam hanya dengan resolusi Majlis Peguam yang mengecam tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

"Kenapa kerajaan perlu berasa terancam? Tidak ada apa-apa ancaman yang dirasakan oleh kerajaan sejak Majlis Peguam ditubuhkan bertahun lamanya. Alhamdulilah kerajaan masih kuat," tegas Nazri yang juga seorang menteri berkelulusan undang-undang.

Akademi Undang-Undang yang dirancang ditubuhkan jelas Nazri, bertujuan untuk melindung golongan yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang guaman tetapi tidak mengamalkannya.

Fungsi Majlis Peguam yang sedia ada pula, kata beliau, seharusnya memberikan fokus kepada menjaga kebajikan ahli, menawarkan bantuan guaman, mengasaskan lembaga disiplin dan hal yang bersangkutan dengan profesion guaman.

"Adalah menjadi hak kerajaan untuk menubuhkan Akademi Undang-Undang. Ini bukan urusan Majlis Peguam," tambah beliau.

Objektif Majlis Peguam sebagai sebuah badan profesional yang berintegriti semakin dipersoalkan oleh banyak pihak sejak kebelakangan ini termasuk di kalangan peguam sendiri.

Sebagai sebuah badan bebas yang bertunjangkan Akta Profesion Undang-Undang 1976, Majlis Peguam kini dilihat semakin keliru dengan politik menjadi fokus utamanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment