My Add

Sunday 20 May 2012

60 peniaga mahu buka gerai di kawasan rumah Ambiga,

Majlis pelancaran Perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Madras, Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur
*ACARA pelancaran Perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Madras, Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pagi tadi. 

KUALA LUMPUR, AHAD, 20 Mei, 2012: Sekumpulan 60 peniaga merancang untuk berniaga di kawasan kediaman Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Bukit Damansara pada Khamis dan Jumaat ini. 

Menamakan tindakan mereka sebagai "BERSIH 4.0 - Mencucikan BERSIH 1,2,3", peniaga terbabit berbuat demikian bagi menampung kerugian mereka akibat perhimpunan yang bertukar ganas dianjurkan Ambiga di ibu kota pada 28 April lalu.

Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md Yunus, berkata mereka akan berniaga pelbagai barangan, makanan dan minuman dari jam 3.30 petang sehingga 8 malam pada hari terbabit.

"Kami berharap dapat memperoleh kembali kerugian akibat perhimpunan itu. 

Dianggarkan setiap peniaga boleh mendapat antara RM300 hingga RM500 sehari jika berniaga di kawasan itu (kediaman Ambiga)," katanya pada sidang media, di sini, hari ini. 

Turut hadir wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Majlis Perundangan Melayu serta peniaga kecil sekitar Kuala Lumpur. 

Jamal berkata, mereka akan meninjau kawasan itu esok sebelum memohon permit berniaga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa ini. 

"Kami akan teruskan berniaga jika permohonan permit tidak diluluskan kerana perhimpunan haram yang diadakan sebelum ini juga diteruskan walaupun tidak diluluskan oleh polis dan DBKL," katanya. 

Beliau berkata, selain menuntut ganti rugi, BERSIH 4.0 itu bertujuan menyampaikan mesej kepada penganjur perhimpunan haram termasuk Ambiga supaya tidak lagi mengadakan perhimpunan yang boleh menjejaskan pendapatan peniaga dan mengganggu kententeraman awam. 

"BERSIH 4.0 ini juga untuk mencucikan kembali perkataan 'BERSIH' yang disalahgunakan oleh penganjur perhimpunan BERSIH serta memohon kerajaan mengambil tindakan kepada penganjur perhimpunan haram itu," katanya. 

Pada 10 Mei lalu, sekumpulan peniaga bertindak berhimpun dan membuka sebuah gerai burger di hadapan kediaman Ambiga, sebagai meluahkan rasa marah kerana menanggung kerugian selepas perhimpunan yang dianjurkan Ambiga dan disokong pembangkang itu berakhir dengan rusuhan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment