My Add

Friday 4 May 2012

Majlis penerbangan ditubuh

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penerbangan Kebangsaan (NAC) untuk menyelaraskan segala dasar berhubung industri penerbangan negara.

Menurut Perdana Menteri, NAC akan menjadi perantara di antara kerajaan dengan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), AirAsia Bhd. dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Katanya, penubuhan NAC menjadikan pembangunan serta masa depan bidang penerbangan negara lebih terancang melalui dasar-dasar yang tersusun dan sistematik.

''Permasalahan berbangkit boleh diselesaikan dan diselaraskan oleh NAC, kalau ada apa-apa perkara pokok mereka boleh bawa kepada NAC untuk diputuskan oleh kerajaan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 3,000 warga syarikat milik kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya mengenai Kumpulan Berprestasi Tinggi GLC.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Holdings Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Najib berkata, pelantikan anggota majlis akan diumumkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi selepas kerajaan memperoleh personaliti yang bersesuaian untuk menerajui NAC.

''Sudah sampai masanya, atau jika tidak, sukar untuk menimbang tara antara antara MAS, AirAsia dan MAHB. Kita perlukan badan yang benar-benar khusus dan memahami kedudukan industri itu," katanya.

Mengenai dialog dengan warga GLC, katanya, wakil syarikat penerbangan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengkaji semula dan membatalkan perjanjian antara MAS dan AirAsia.

Menurut Perdana Menteri, mereka juga menyambut baik kerjasama antara kedua-dua 'regional champion' itu kerana memberi manfaat kepada ekonomi negara.

''Kerjasama antara MAS dan AirAsia perlu dilaksanakan tetapi dalam bentuk modul baru bukan pertukaran pegangan.

''Justeru, tiga memorandum persefahaman yang akan dimeterai bakal mencerminkan bidang-bidang yang boleh mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment