My Add

Tuesday 8 May 2012

Majoriti NGO politik Selangor tidak berdaftar - ROS

SHAH ALAM, SELASA, 08 Mei, 2012: Majoriti pertubuhan bukan kerajaan berkaitan politik di Selangor tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di negeri itu.

Pengarah ROS Selangor, Noraffendy Abd Khalid berkata, daripada kira-kira 8,000 pertubuhan yang berdaftar dengan ROS Selangor sehingga hujung April lepas, cuma 33 NGO politik yang berdaftar sungguhpun jumlahnya kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"Pihak yang mendakwa sebagai NGO sepatutnya tampil dan berdaftar dengan ROS bagi memastikan perjuangan mereka lebih jujur, relevan dan bertanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan.

"Bila berdaftar tidaklah nampak mereka seperti main-main. Bagi pihak ROS, kami amat mengalu-alukan mereka supaya mendaftar," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan pertubuhan baru mengenai sistem pendaftaran secara talian e-Roses, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat lima jabatan pendaftar lain, namun NGO berkaitan parti politik perlu mendaftar dengan ROS bagi memastikan pertubuhan mereka diiktiraf dan diperakui untuk memudahkan mereka bergerak serta melakukan aktiviti.

Katanya pertubuhan yang tidak mendaftar tetapi menjalankan aktiviti boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun katanya, ROS tidak boleh mengambil tindakan terhadap NGO atau pertubuhan yang tidak berdaftar jika tidak menerima aduan.

"Setakat ini kita tidak mempunyai bilangan tepat NGO dan pertubuhan yang tidak berdaftar di negeri ini dan tindakan hanya boleh diambil jika ROS menerima aduan," katanya.

Terdahulu, Noraffendy berkata sejak diperkenalkan pada pertengahan Januari lepas sehingga kini, sebanyak 549 permohonan menerusi e-Roses diterima ROS Selangor dan daripada junmlah itu 419 permohonan diluluskan.

Noraffendy berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak pertubuhan dapat didaftar menggunakan sistem itu kerana ia menjimatkan masa serta boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Sistem e-Roses diperkenalkan bagi memudahkan proses penubuhan pertubuhan secara atas talian bermula 16 Jan lepas di lima buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment