My Add

Thursday 3 May 2012

Maklumat awam bantu polis selesai dua kes bunuh di Tawau

TAWAU, KHAMIS, 03 Mei, 2012 : Maklumat orang awam membantu polis Tawau menyelesaikan dua kes bunuh dalam tempoh singkat, kata Ketua Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, SAC Omar Mamah.

Omar berkata, kes pembunuhan seorang suri rumah, Sang Sui Fong, 45, yang juga seorang broker sambilan yang mayatnya dijumpai pada 1 April lalu di kawasan hutan Kalabakan diselesaikan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam di Sandakan.

Katanya, pembunuhan seorang pegawai ladang FELDA Umas, Suboh Hamadad, 52, pada 8 April lalu pula diselesaikan dalam tempoh 16 hari selepas polis menerima maklumat awam yang menyaksikan kejadian itu dan membawa kepada penangkapan empat suspek.

"Kita ucapkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Tawau dan pegawainya kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh singkat. Sebenarnya, kejayaan polis dalam menyelesaikan kes tersebut adalah hasil maklumat daripada orang awam.

"Ini yang kita mahukan. Kalau kita lihat senario kedua-dua kes ini, orang awam secara sukarela membantu pihak polis. Ini satu petanda yang baik," katanya selepas mengedarkan risalah dan maklumat berkaitan kesedaran pencegahan jenayah kepada orang ramai di bawah Program Kepolisan Berprofil Tinggi di sini, hari ini.

Sempena program berkenaan, Omar bersama Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin dan beberapa pegawai polis mengedarkan risalah di kawasan tumpuan ramai seperti Pasar Tanjung, sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau dan kawasan pelabuhan Batu-Batu.

Sehubungan itu, Omar menggesa orang ramai supaya terus memberi sokongan kepada polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian di kawasan mereka bagi membolehkan polis memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Mengulas program itu, Omar berkata, beliau gembira kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, rata-rata orang ramai yang ditemui berkata mereka gembira dengan kunjungan pegawai-pegawai kanan polis ke kawasan awam kerana ia memberi peluang kepada mereka menyalurkan maklumat secara terus kepada pegawai polis tanpa perlu ke balai polis.

Bagaimanapun, Omar menasihatkan orang awam yang menerima risalah berkenaan selain membacanya, mereka juga perlu menyebarkannya kepada rakan dan saudara mara mereka supaya maklumat dalam risalah itu termasuk nombor telefon yang perlu dihubungi apabila berlaku kes jenayah dapat disampaikan kepada lebih ramai orang.

"Oleh kerana risalah yang kami edarkan hari ini terhad bilangannya, saya berharap orang ramai yang menerimanya hari ini dapat membuat salinan dan memberikannya kepada rakan-rakan terdekat atau anggota keluarga supaya ia dapat dimanfaatkan apabila perlu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment