My Add

Wednesday 16 May 2012

Malaysia, Indonesia sepakat tubuh kokus Parlimen

JAKARTA, RABU, 16 Mei, 2012: Malaysia dan Indonesia sepakat untuk menubuhkan sebuah kokus Parlimen yang akan berperanan sebagai platform berkesan bagi mencari penyelesaian lebih cepat kepada isu dua hala kedua-dua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata Kokus Parlimen Malaysia-Indonesia (KPMI) itu akan segera ditubuhkan supaya Ahli Parlimen kedua-dua negara dapat duduk bersama membincangkan isu yang timbul, sebelum ia berkembang menjadi masalah lebih serius sehingga boleh mengganggu hubungan.

"Bila saya pulang nanti, saya akan memaklumkan kepada Kabinet, kedua-dua speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Ketua Pembangkang, dan kita akan tubuhkan kokus ini dengan serta-merta.

"Dengan adanya kokus ini, saya percaya banyak masalah akan dapat diselesaikan, dan ia juga akan meningkatkan hubungan baik di antara kedua-dua negara," katanya di sini.

Mohamed Nazri yang tiba bersama rombongan anggota Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia, pagi ini bertemu Menteri Penyelaras bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto; Speaker Dewan Senate Indonesia, Irman Gusman; dan Presiden Jawatankuasa Penyelaras Anggota Parlimen Wanita IPU, Dr Nurhayati Ali Assegaf.

Ditanya sama ada penubuhan kokus Parlimen itu ada kaitan dengan kes tiga penjenayah Indonesia dari Lombok, Nusa Tenggara Barat mati ditembak dalam satu rompakan di Port Dickson, Negeri Sembilan Mac lalu, beliau berkata kejadian itu menjadi katalis penubuhannya.

Mohamed Nazri berkata, Jemaah Menteri baru-baru ini memutuskan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia adalah sangat penting kerana kedua-duanya jiran tetangga yang mempunyai sejarah hubungan rapat daripada segi budaya dan bahasa.
Namun, katanya, sejak kebelakangan ini terdapat beberapa isu berbangkit yang diperbesarkan media di Indonesia serta berpotensi mengganggu hubungan jika tidak ditangani dengan baik.

"Sehubungan itu, menteri Malaysia digalak untuk sering berhubung dengan rakan sejawatan dari Indonesia dan mereka tidak seharusnya hanya membuat kunjungan ketika masalah timbul," katanya.

Mohamed Nazri berkata, walaupun kunjungan beliau ke sini kali ini adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi IPU Malaysia, beliau turut bertemu rakan sejawatannya, Djoko Suyanto, untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu dua hala.

Beliau yakin kokus Parlimen tersebut akan menjadi forum berkesan bagi penyelesaian masalah dua hala Malaysia-Indonesia kerana Parlimen mempunyai kuasa untuk memanggil pihak berkuasa berkaitan dengan sesuatu kes untuk memberi penjelasan.

"Parlimen juga boleh memanggil anggota Kabinet untuk memberi penjelasan bagi pihak eksekutif mengenai masalah yang ada hubungan dengan kementerian berkaitan dan pendekatan ini bukan sahaja boleh mengelak salah faham di kedua belah pihak, malah akan membolehkan masalah diselesaikan lebih cepat," katanya.

Beliau juga berkata, dalam perbincangan dengan Dr Nurhayati, Malaysia dan Indonesia sepakat untuk memainkan peranan lebih aktif berhubung soal perjuangan kesamaan gender kerana kedua-dua negara mempunyai penduduk wanita Muslim yang ramai.

Katanya, pada masa ini terdapat pandangan salah bahawa kebanyakan negara Islam menindas wanita sedangkan ia sebenarnya budaya di negara berkenaan yang dilihat seolah-olah menekan golongan itu.

"Islam menuntut supaya wanita dilindungi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment