My Add

Wednesday 16 May 2012

Malaysia mahu tarik lebih banyak pelaburan AS

NEW YORK, RABU, 15 Mei, 2012: Malaysia akan mempromosikan lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat Amerika syarikat (AS) di dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dari negara itu, kata Duta Malaysia ke AS, Datuk Othman Hashim, hari ini.

"Walaupun terdapat banyak syarikat AS di Malaysia, kita mahu lebih banyak syarikat AS melabur di Malaysia," katanya kepada media Malaysia sebelum lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke sini mulai hari ini hingga Jumaat.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, katanya Najib akan menghadiri pertemuan perniagaan meja bulat dengan komuniti perniagaan di sini dan akan menemui ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat utama AS serta pemimpin industri.

Antara syarikat itu ialah Eastman Chemical, Global Consumer Insurance, Guardian Pharmacy, ConocoPhilips, Boeing dan Citigroup.

"AS adalah salah satu pelabur utama di Malaysia, jadi kita mahu meningkatkan angka itu. Kita tahu terdapat banyak peluang bagi Malaysia dan AS untuk bekerjasama di dalam bidang ini," katanya.

Othman berkata, Malaysia turut berusaha meningkatkan perdagangan dengan AS walau pun perdagangan antara kedua-dua negara sekarang "sangat besar."

Perdagangan keseluruhan antara kedua-dua negara tahun lalu ialah AS$36.33 bilion (US$1=RM3.085) dan perdagangan dua hala sentiasa memihak kepada Malaysia.
"Kita mahu berusaha meningkatkan lagi angka itu kerana AS adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dan di kalangan negara Asean, import dari Malaysia adalah terbesar bagi AS.

"Jadi, jika anda melihat kepada angka itu sahaja, ia memberikan petunjuk baik bahawa kedua-dua negara telah berusaha dengan baik di dalam bidang ini," katanya.

Mengenai lawatan kerja Najib, duta itu berkata ia bertujuan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan AS, khususnya di dalam bidang ekonomi, perdagangan dan perniagaan, yang mempunyai kepentingan bagi Malaysia.

"Kita gembira bahawa hubungan antara Malaysia dan AS sangat kukuh dan rapat dan perkembangan positif ini telah terjalin lebih kukuh lagi pada beberapa tahun kebelakangan.

"Kita boleh lihat buktinya di segi pertukaran lawatan...(dan) jika anda melihat perangkaan perdagangan dan aktiviti lain yang telah terjalin antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang...terutama sekali dalam hubungan politik, ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi dan sesetengah bidang yang lain yang sudah terjalin sejak sekian lama seperti pertahanan, keselamatan...

"Semuanya adalah isu yang penting berkepentingan bersama dan salin memanfaatkan kepada kedua-dua negara," katanya.

Katanya, kemuncak lawatan itu ialah Mesyuarat Kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di New York Academy of Sciences (NYAS) yang akan dipengerusikan oleh Najib esok.

Majlis itu mengandungi 35 ahli – 10 dari Malaysia dan 25 ahli antarabangsa - dan ia adalah inisiatif bersama antara Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (Might) dan NYAS di dalam usaha memtransformasi Malaysia menjadi satu ekonomi berpendapatan tinggi dengan meningkatkan keupayaan Malaysia di dalam bidang sains dan inovasi.

Ia dilancarkan oleh Najib dan sudah mengadakan mesyuarat sulungnya di sini pada 17 Mei tahun lalu.

Bersempena dengan mesyuarat itu, Perdana Menteri dijadual menyaksikan beberapa pertukaran dokumen yang termasuk antara MyBiomass, Sime Darby dan FELDA; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan NYAS; Universiti Teknologi Malaysia dan Columbia University; Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia dan Earth Institute, Columbia University; dan Nano Malaysia Corporation dan Advanced Energy Research dan Technology Center of Stony Brook University.

Najib akan turut menghadiri mesyuarat meja bulat dengan peneraju syarikat Fortune 500 di Harvard Club New York, selain menerima kunjungan hormat seperti oleh Pengerusi Lembaga Pengarah dan CEO Ocean Thermal Energy Corporation, Jeremy P. Feakins dan Naib Presiden Eksekutif Motorola Solutions Gene Delaney.

Dalam program berasingan, Rosmah dijadual menerima kunjungan hormat CEO Pengakap Wanita AS Anna Maria Chavez dan akan melawat New York Presbyterian Children’s Hospital esok.

Najib dan Rosmah akan berlepas ke Washington DC bagi melakukan lawatan persendirian menggunakan pesawat khas dari Westchester County Airport pada Jumaat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment