My Add

Thursday 17 May 2012

Malaysia tandatangani lima MoU di AS

Daripaa Zulkefli Hamzah
NEW YORK, RABU, 16 Mei, 2012: Malaysia mengukuhkan bidang sains, teknologi dan inovasi ke arah menjadikan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi apabila memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) pembangunan sumber manusia dan masyarakat pintar dengan badan-badan penyelidikan terkemuka Amerika Syarikat (AS).

Kerjasama itu merupakan hasil inisiatif Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) yang ditubuhkan di sini tahun lalu dengan dianggotai oleh 25 pakar pelbagai bidang di dunia dan 10 tokoh terkemuka tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini pada Rabu dan dijadual mempengerusikan mesyuarat kedua GSIAC itu di Akademi Sains New York (NYAS), sekali gus menyaksikan pertukaran dokumen MoU berkenaan.

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan projek biomas GSIAC iaitu kerjasama melibatkan Sime Darby Berhad and Felda Global Ventures Holdings.

Menurutnya, projek itu yang diumumkan semasa mesyuarat pertama GSIAC tahun lalu akan melibatkan kerjasama membangunkan teknologi hijau bernilai tinggi dengan menjadikan sisa kelapa sawit sebagai tenaga elektrik dan vaksin.

Zakri menambah, MoU pertama yang bakal disaksikan Najib ialah kerjasama antara Rangkaian Penyelidikan Universiti Malaysia (MRUN), State University of New York (SUNY) dan NYAS mengenai inisiatif 'dari buaian hingga kerjaya' yang bakal menyaksikan perubahan tahap pendidikan negara.

"Kerjasama seterusnya mengenai penyelidikan dan pembangunan sumber manusia antara Earth Institute of Columbia University dan Universiti Teknologi Malaysia, selain antara Earth Institute dengan Universiti Sains Malaysia," katanya yang juga Setiausaha Bersama GSIAC kepada wartawan Malaysia di sini.

Zakri berkata, pembangunan teknologi nano negara juga dijangka berlaku lonjakan apabila Perbadanan Nano Malaysia menjalin kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Teknologi Tenaga Lanjutan Stony Brook University, iaitu sebahagian daripada rangkaian SUNY.

Kerjasama kelima ialah antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan NYAS untuk membangunkan program Hadiah Nobel melalui projek Permata Pintar UKM yang bakal menyaksikan pelajar didedahkan dengan set kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Othman Hashim berkata, lawatan kerja dua hari Najib akan memberi tumpuan kepada hubungan perdagangan, ekonomi dan perniagaan yang semakin kukuh sejak beberapa tahun ini.

Selain mempengerusikan mesyuarat GSIAC, Perdana Menteri dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan komuniti perniagaan terkemuka AS di Kelab Harvard New York. Beliau kemudiannya bertemu dengan beberapa peneraju syarikat antarabangsa AS.

Turut mengiringi lawatan Najib ialah Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment