My Add

Friday 11 May 2012

Malaysia teliti undang-undang pekerja asing UAE

ABU DHABI, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Kerajaan sedang meneliti undang-undang pekerja asing di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sama ada ia sesuai dilaksanakan di Malaysia atau tidak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya perkara itu dibangkitkan dan dibincangkan dengan panjang lebar dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Saif Zayed Al Nahyan, yang juga Menteri Dalam Negeri sempena lawatan rasminya ke UAE bermula Isnin lepas.

"Saya telah minta contoh undang-undang mereka macam mana, nak dilihat sama ada sesuai atau tidak digunakan di Malaysia.

"Cara bagaimana mereka uruskan. (UAE) ada juga pengalaman serupa di mana (orang asing) masuk dan hilang," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatannya ke sini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin berkata penggubalan undang-undang berkaitan pekerja asing di UAE mengambilkira jumlah pekerja asing yang ramai.

UAE mempunyai penduduk seramai 1.2 juta orang manakala pekerja asing pula lima juta.

Beliau berkata Malaysia dan UAE juga bertukar-tukar pengalaman mengenai isu pekerja asing termasuk sistem untuk mengesan menggunakan undang-undang khusus yang dipunyai negara Arab itu.

Mengenai pertemuannya dengan Menteri Pelajaran UAE Humaid Mohammed Obaid Al-Qatami, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia berkata satu bentuk kerjasama akan diwujudkan melalui memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan.

"Pada masa ini terdapat satu MoU untuk pendidikan tinggi dengan UAE tapi belum diselesaikan...kita bincangkan MoU berhubung kait dengan pendidikan di peringkat sekolah menengah dan rendah di Malaysia.

"Apabila MoU ini disediakan nanti kita akan tetapkan skop dan bidang kerjasama seperti latihan perguruan , ko-kurikulum dan tingkatkan mutu pendidikan dan pelajaran kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment