My Add

Saturday 12 May 2012

Malaysia tuan rumah persidangan isu bersalin

KUALA LUMPUR, SABTU, 12 Mei, 2012: Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Ketiga 'Women Deliver' Global 2013, persidangan yang menumpu perhatian bagi mengurangkan kematian ibu bersalin dan mencapai akses sejagat terhadap kesihatan reproduktif. 

Persidangan yang sebelum ini diadakan di London dan Washington, dijangka dihadiri 5,000 perwakilan selain dapat menghasilkan anggaran impak ekonomi bernilai RM47.4 juta.

Persidangan itu anjuran 'Women Deliver', sebuah pertubuhan berpangkalan di New York yang memperjuangkan usaha mengumpulkan suara dari seluruh dunia ke arah memperbaiki kesihatan gadis dan wanita.

Perunding pertubuhan tersebut, Datuk Dr Raj Karim, berkata menerusi sokongan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), negara ini dipilih menjadi tuan rumah kerana kedudukannya sebagai negara demokratik berkembang pesat dan liberal dengan dasar sosio ekonomi dan pembangunannya yang stabil serta kukuh. 

Katanya, Malaysia terkenal dengan usaha memperbaiki kesihatan dan kadar kematian ibu bersalin sebagai inisiatif utama negara jauh mendahului apa yang dijalankan oleh agensi-agensi antarabangsa. 

Dr Raj berkata, Malaysia dipilih sebagai tempat persidangan berdasarkan iltizam yang ditunjukkan kerajaan untuk memperbaiki taraf kesihatan rakyatnya. 

"Di peringkat antarabangsa Malaysia diakui memiliki sistem penjagaan kesihatan komprehensif dan dirancang rapi yang dapat memberi perkhidmatan kesihatan percuma dan termampu sampai kepada semua peringkat umur penduduk luar bandar yang terpencil. 

"Sebenarnya, Malaysia memiliki sistem penyampaian penjagaan utama kesihatan terbaik di rantau ini dan juga di peringkat dunia," katanya. 

Beliau berkata, melalui persidangan tersebut, negara ini berpeluang berkongsi pengalaman dengan negara lain yang kurang membangun dengan kadar kematian ibu bersalin yang tinggi, selain mempelajari teknologi terbaru menyelamatkan nyawa dan kesihatan wanita. 

Katanya, persidangan itu adalah platform sesuai bagi mencetuskan penyelesaian dan idea bagaimana mengurangkan kematian ibu bersalin. 

Maklumat lanjut mengenai persidangan ini boleh didapati dengan melayari http://www.womendeliver.org/. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment