My Add

Saturday 5 May 2012

Mampu tarik pelaburan RM3.5 bilion

*SALAH sebuah stesen janakuasa biomas di luar negara. - gambar hiasan

Oleh KASTHURI JEEVANDRAN

KUALA LUMPUR. JUMAAT, 04 Mei, 2012: Sektor biomas di Malaysia dijangka mampu menarik dua pelaburan asing yang besar dan berpotensi bernilai RM3.5 bilion dalam tempoh terdekat ini.

Penasihat Teknikal kepada Inisiatif Pengeluaran Lestari Biomas EU-Malaysia (Biomas-SP), Datuk Leong Kin Mun berkata, pelaburan sebanyak RM2.5 bilion bakal dilaburkan oleh sebuah syarikat dari China yang berminat untuk mendirikan sebuah kilang kuasa biomas.

"Syarikat China ini dikenali seluruh dunia iaitu Wuhan Kaidi Holding Investment Co. anak syarikat kepada Wuhan Kaidi Electric Power Co. dan sebuah lagi syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang akan melabur sebanyak RM 906.4 juta untuk kilang biogula," katanya pada sidang akhbar pengumuman Persidangan Amalan Terbaik dan Kerjasama Perniagaan Biomas EU-Asia 2012 di sini hari ini.

Menurut Kin Mun, walaupun kedua syarikat tersebut telah melahirkan hasrat mereka beberapa kali, namun pihak Biomas-SP masih dalam peringkat kajian termasuklah bekalan sumber mampan dan menjangka akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman rasmi mengenai niaga janji itu bulan depan,"ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Biomas-SP, Tan Sri Ahmad Zaharudin Idrus berkata, persidangan itu dijangka dihadiri oleh lebih 500 delegasi daripada 25 negara bermula 7 hingga 10 Mei bulan hadapan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Persidangan itu akan membantu mempromosikan dan berkongsi amalan terbaik serta meninjau potensi kerjasama persekitaran dan perniagaan projek-projek pembangunan biomas.

"Ia juga akan mengetengahkan tiga potensi utama penumpuan biomas kepada produk bernilai tinggi iaitu bio-tenaga, eko dan produk pertanian serta kimia bernilai tinggi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment