My Add

Tuesday 22 May 2012

MBAS buka permohonan berniaga di Bazar Ramadan

ALOR SETAR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membuka permohonan untuk berniaga di Bazar Ramadan bermula semalam sehingga 8 Jun depan.

Borang untuk menjalankan aktiviti perniagaan di bazar-bazar Ramadan dijual pada harga RM6 bagi satu borang.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berkata, sebanyak 1,600 tapak akan disediakan kepada para peniaga di mana sebanyak 1,400 tapak bagi peniaga yang menjual juadah berbuka puasa, 110 tapak jualan pakaian yang berkhemah dan 90 tapak jualan pakaian yang tidak berkhemah.

"Borang ini hanya akan dijual kepada sesiapa yang betul-betul berminat untuk berniaga dan mereka boleh mendapatkan borang ini di pejabat MBAS," katanya kepada pemberita di sini.

Mat Noh berkata, harga sewa tapak bazar adalah RM1,500 bagi peniaga yang menjual pakaian di tapak yang berkhemah manakala RM600 tanpa khemah dan RM650 bagi peniaga yang menjual juadah berbuka di tapak yang berkhemah dan RM350 tanpa khemah.

Beliau berkata, proses undian akan dijalankan bagi menentukan sama ada para peniaga itu dipilih atau tidak untuk menjalankan aktiviti perniagaan di bazar Ramadan dan mereka perlu melakukan proses undian ini sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana pihak.

"Deposit sebanyak RM1,000 akan dikenakan kepada para peniaga sebelum mereka boleh mengundi dan ini bagi memastikan mereka tidak memberi atau menjual undian mereka kepada orang lain dan wang deposit akan dikembalikan kepada mereka selepas raya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment