My Add

Friday 11 May 2012

MRT: Tandatangan PoA seger

AZHAR Abdul Hamid
Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Pemilik hartanah di Jalan Sultan yang terlibat dengan projek My Rapid Transit (MRT) dinasihatkan agar menandatangani Perkara Perjanjian (PoA) bersama MRT Corp. bagi mempercepatkan usaha menghentikan Akta Pengambilan Tanah di kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, apabila PoA ditandatangani, mereka seterusnya boleh menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang akan dibawa kepada kerajaan.

Katanya, MoA akan ditunjukkan kepada kerajaan supaya Akta Pengambilan Tanah dapat ditarik balik dan bangunan milik pemilik di situ tidak akan diambil atau dirobohkan.

“Sehingga kini, daripada 21 hartanah yang terlibat, 16 daripada pemiliknya sudah pun menandatangani PoA. Tiga daripada itu pula sudah mengambil PoA tersebut untuk diberikan kepada peguam mereka manakala tiga lagi masih tidak memberi kerjasama atau berbincang," katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di Jalan Tun HS Lee di sini hari ini.

Azhar berkata, pembinaan laluan terowong bawah tanah bagi projek MRT itu tidak akan melibatkan perobohan hartanah milik pihak persendirian.

Menurutnya, mereka hanya perlu mengosongkan bangunan mereka selama enam bulan bagi memberi laluan kepada projek itu dan akan dibayar pampasan sepanjang perniagaan mereka tidak dapat dijalankan.

“Walaupun kerja untuk membuat terowong hanya mengambil masa 21 hari, namun kami minta agar pemilik dapat mengosongkan premis mereka selama enam bulan bagi memberi ruang untuk kerja pemeriksaan dan sebagainya dibuat.

“Pemilik tidak perlu risau kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengarahkan supaya tiada pengambilan tanah atau perobohan dibuat pada harta persendirian tersebut," ujarnya.

Ketika sidang akhbar itu, terdapat beberapa orang yang berdiri di luar restoran terbabit sambil mengangkat bunting membantah pembinaan MRT di situ dan meminta agar dialog mengenai perkara itu diadakan.

Bagaimanapun, Azhar berkata, semasa beliau keluar dan bertemu dengan kumpulan tersebut tiada di antara mereka yang mengemukakan soalan kepadanya dan hanya terdapat seorang yang menjerit “We want dialogue, not monologue".

Tambahnya, jika ada pihak yang ingin bertanya mengenai projek itu maka mereka boleh menghantarkan soalan itu kepada emel amir.mahmood@mymrt.com.my dan beliau akan menjawab melalui media. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment