My Add

Tuesday 15 May 2012

MSC Malaysia catat pendapatan RM31.7 bilion

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Mei, 2012: MSC Malaysia meraih pendapatan sebanyak RM31.7 bilion tahun lepas.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 2010, dan prestasi terbaik setakat ini, demikian diumumkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) hari ini.

MDeC juga berkata keputusan itu mencerminkan pertumbuhan kukuh dan mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Koridor raya multimedia itu menyaksikan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM9.6 bilion yang mengatasi sasaran RM8.7 bilion, meningkat 25 peratus berbanding 2010.

"Pada 2011, eksport juga berkembang kepada RM10.12 bilion, yang mencerminkan pertambahan sebanyak sembilan peratus daripada sebelumnya.

"Dari segi pekerjaan, 7,602 pekerjaan telah diwujudkan berbanding sasaran 5,464, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus. Ini menjadikan keseluruhan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam MSC Malaysia sejak 2007 kepada 119,138," kata MDeC dalam satu kenyataan.

Dari segi pecahannya, kluster Infotech menyumbang hampir separuh daripada pendapatan dengan sumbangan RM15.4 bilion, manakala Perkhidmatan Berkongsi dan Penyumberan Luar (SSO) menyumbang RM9.1 bilion.

Kluster Multimedia Kreatif meraih pendapatan berjumlah RM6.1 bilion manakala Institusi Pengajian Tinggi dan Inkubator menyumbang RM1.1 bilion.

MDeC berkata pelaburan yang mengalir ke dalam MSC Malaysia juga menyaksikan pertumbuhan ketara, dengan jumlah RM2.5 bilion, dan daripada jumlah ini, 63 peratus adalah Pelaburan Langsung Domestik manakala yang lainnya adalah Pelaburan Langsung Asing.

Pelaburan bagi MSC Malaysia tahun lepas juga menunjukkan peningkatan sebanyak 69.2 peratus berbanding 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pendapatan yang dicatatkan tahun lepas mengatasi paras RM30 bilion, yang merupakan paras tertinggi pernah dicatatkan.

Beliau berkata ini juga menunjukkan pertumbuhan terbaik sejak krisis kewangan 2008. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment