MUAR, SABTU, 19 Mei, 2012: Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin melancarkan buku kisah hidup dan perjuangan bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjudul Tuan Guru Haji Mohd. Yassin: Tokoh Ilmuwan Islam Terbilang di Masjid Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Pelancaran itu turut disaksikan oleh Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, ahli keluarga, bekas anak murid Mohd. Yassin dan Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh.
Buku itu adalah sempena memperingati jasa dan sumbangan Mohd. Yassin yang merupakan tokoh ulama, pemikir, pendidik, ahli sufi, bapa mithali dan pendakwah tersohor di Johor.
Mohd. Yassin juga merupakan pengasas dua buah institusi pendidikan iaitu Madrasah As-Saadiah yang beraliran agama dan Sekolah Menengah Mohd. Yassin.
Buku itu diterbitkan oleh ITBM dengan kerjasama Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Ugama Malaysia Barat (KKGUMB) yang ditulis Abd. Latiff Juffri@Al-Jufri dan Amad Bahri Mardi.
Waris Mohd. Yassin iaitu Abdul Aziz, 70, yang juga abang Muhyiddin melahirkan kesyukuran kerana akhirnya riwayat hidup, perjuangan dan amanat bapanya dibukukan.
Menurut Abdul Aziz, bapanya seorang yang gigih dalam berdakwah, menyebarkan ilmu dan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan perlunya mengubah minda serta pemikiran.
Katanya, usaha dan perjuangan Mohd. Yassin dalam bidang pendidikan kini diwarisi Muhyiddin yang kini menjadi Menteri Pelajaran dan sedang melakukan transformasi pendidikan.
Sementara itu, Abd. Latif berkata, salah satu kandungan menarik buku tersebut ialah mengenai ramalan Mohd. Yassin bahawa salah seorang anaknya satu hari nanti akan menjadi pemimpin besar negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment