My Add

Tuesday 22 May 2012

MVCA sasar aset tumbuh 25 peratus

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia (MVCA) menyasarkan peningkatan 25 peratus pertumbuhan aset di bawah pengurusan dana tahun ini.

Peningkatan tersebut adalah dari jumlah saiz aset di bawah pengurusan dana teroka sebanyak RM5.4 bilion setakat ini, dengan RM1 bilion daripadanya adalah dana Islam. Pada 2009, saiz dana tersebut adalah RM5.9 bilion.

Presiden MVCA, Darawati Hussain berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan kepada prospek pemulihan ekonomi di pasaran sumber dana seperti Asia Barat, Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kami optimistik pada 2013 dan 2014, sumber dana akan mula menunjukkan peningkatan dan lebih banyak dana dilancarkan, terutama dana berkaitan Islam.

"Strategi pada masa ini adalah melihat kepada struktur dan terma untuk dana Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan Persidangan Modal Teroka Islam dan Ekuiti Swasta Antarabangsa Keempat 2012 di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Datuk Dr. Adnan Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd. (MAVCAP), Jamaludin Bujang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment