My Add

Friday 11 May 2012

Najib akui manfaat turun padang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui keberkesanan program turun padang atau walkabout yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan termasuk beliau sendiri dalam mendekati kehidupan sebenar rakyat negara ini.

Beliau berkata, peluang bertemu rakyat yang berkonsep tinjauan mesra itu juga memberi impak besar dalam usaha pemimpin dan kerajaan untuk bertindak terhadap setiap rintihan dan masalah rakyat.

"Semasa program walkabout, bila bersalaman saya dapat lihat rakyat sangat gembira dan suka sangat untuk menerima seseorang pemimpin.

"Mereka mungkin tidak pernah terfikir bahawa saya akan singgah di gerai, masuk ke pasar dan bersembang dengan rakyat," katanya semasa temu bual rancangan Sinar Pagi di Sinar fm di sini.

Najib turut berkongsi pengalaman yang disifatkan beliau sebagai paling menyentuh hati di mana beliau didatangi seorang warga emas setelah dihalau keluar dari rumah oleh anaknya sendiri semasa satu program di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

"Masa itu saya duduk minum teh tarik dengan sekumpulan orang tua, kemudian datang seorang bekas pemandu teksi yang mengadu dihalau oleh anak sendiri kepada saya," katanya.

"Padahal rumah itu adalah rumah hadiah si bapa kepada anak sendiri yang dibeli menggunakan wang simpanannya," katanya ketika menjawab panggilan salah seorang pendengar program yang bertanyakan pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang mengadakan program turun padang di seluruh negara.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat wajar mempertimbangkan semula pemberian bantuan RM300 sebulan kepada warga emas yang diabaikan oleh anak-anak yang sudah bekerja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment