My Add

Friday 4 May 2012

Nuklear Israel ancam Asia Barat

VIENNA, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Timbalan Menteri Luar Iran, Mohammad Mahdi Akhondzadeh mendakwa, senjata nuklear Israel yang tidak diisytiharkan menimbulkan ancaman terbesar kepada keamanan rantau Asia Barat.

Akhondzadeh pada masa sama menuduh Amerika Syarikat (AS) dan negara pemilik senjata nuklear lain bersikap hipokrit dengan memandang remeh komitmen pelucutan senjata oleh negara itu.

Beliau mendakwa, pemilikan senjata nuklear oleh beberapa buah negara boleh memberi ancaman serius terhadap kelangsungan hidup manusia.

Walaupun Israel tidak pernah mengesahkan dakwaan tersebut, banyak pihak secara meluas menganggap hanya negara itu yang memiliki senjata nuklear.

Namun AS dan pakatannya melihat, hanya Iran yang mampu memberi ancaman nuklear yang berbahaya kepada Asia Barat kerana keengganannya menghentikan program pengayaan uranium dan aktiviti lain yang mungkin boleh digunakan untuk pembuatan senjata nuklear.

Kenyataan Akhondzadeh dibuat pada mesyuarat pengawalan senjata nuklear dihadiri 189 negara yang berlangsung semalam, sekali gus cuba menggambarkan usaha Iran untuk memesongkan tanggapan antarabangsa terhadap aktiviti nuklearnya bagi tujuan pembuatan senjata.

Sejak persidangan itu bermula Isnin lalu, kritikan keras Barat terhadap Iran kurang didengar, kemungkinan berikutan usaha enggan memburukkan lagi persekitaran menjelang satu pertemuan antara Iran dengan enam negara kuasa dunia untuk meredakan kebimbangan isu berkenaan.

Akhondzadeh dalam kenyataannya turut merujuk kepada negara memiliki kuasa nuklear iaitu AS, Britain dan Perancis, yang akan duduk semeja bersama Iran, Rusia, China dan Jerman dalam pertemuan di Baghdad pada 23 Mei ini. - AGENSI

No comments:

Post a Comment