My Add

Wednesday 16 May 2012

Omar Hashim Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
*MUHYIDDIN menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR, RABU, 16 Mei, 2012: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Omar Mohd Hashim hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, atas kelebihan dan kekuatan beliau terutama dalam aspek kepimpinan yang cemerlang. 

Omar, 77, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan yang bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, di Dewan Jubli Perak di sini.

Beliau yang menjadi Penasihat Perkumpulan Bekas Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran, mula menjejak langkah ke dalam bidang pendidikan mengajar di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah, pada tahun 1962.

Apabila bakat kepimpinannya terserlah, Omar terus diberi kepercayaan mengetuai beberapa organisasi antaranya sebagai Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia. 

Kecemerlangan perkhidmatannya dibuktikan apabila beliau sebelum ini pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia. 

Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah mendapat pendidikan awal pada tahun 1946 di Sekolah Melayu Permatang, Sekolah Arab Daeratul Maarif Wataniah dan Sekolah Francis Light, Pulau Pinang dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Penang Free. 

Sementara itu, seorang guru bahasa Inggeris di Sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun, 67, dipilih sebagai Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012, di atas sumbangan dan keupayaan beliau mencetus idea bernas dalam aspek pendidikan. 
Anak kelahiran Kelantan ini memulakan khidmatnya sebagai guru seusia awal 18 tahun di sekolah swasta (Kelantan English School) sebelum menyambung pengajian ke peringkat universiti. 

Ketika di tahun akhir pengajian di Universiti Malaya, beliau berjaya menubuhkan sekolah Kadir Adabi yang kemudiannya berkembang ke seluruh negara sebagai Kumpulan Maktab Adabi yang terkenal sebagai pembekal utama penuntut ke universiti tempatan. 

Hassan, pernah dilantik ke pelbagai jawatan dalam agensi kerajaan dan korporat selain turut menerima pelbagai pengiktirafan daripada institusi pengajian tinggi antaranya dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan oleh International Management Centre, United Kingdom. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 kepada bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, 62; bekas pengetua cemerlang Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah, Datuk Mary Yap Kain Ching, 61; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Telok Pulai, Klang, Selangor, Mohd Azman Abdul Rashid, 61 dan bekas guru cemerlang kimia di Sekolah Menengah Sains Selangor, Lim Ia Lee, 60. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment