My Add

Monday 21 May 2012

Pas cari alasan tak mahu muzakarah

*DR. MAHATHIR Mohamad (kiri) bersama pemimpin-peminpin UMNO Kedah melaungkan kata-kata semangat di Dewan Wawasan Kubang Pasu, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR


Oleh SAHBULAH DARWI
JITRA, AHAD, 20 Mei, 2012: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO menunjukkan Pas sebenarnya mencari alasan untuk tidak mahu berbuat demikian.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sepatutnya Nik Abdul Aziz tidak perlu meletakkan syarat untuk mengadakan muzakarah atau berbincang demi perpaduan umat Islam serta kepentingan orang Melayu di negara ini.

"Tak payahlah bersyarat-syarat, kita muzakarah nak cari perpaduan di kalangan orang Islam dan orang Melayu, jadi apa nak syarat pula. Itu (syarat) pasal nak bagi alasan tak mahu muzakarah, nanti kata tak cukup syarat," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra, di sini hari ini.

Lebih 672 pemimpin empat peringkat dari bahagian seluruh negeri hadir bersama ketua masing-masing pada majlis berkenaan.

Semalam, Nik Abdul Aziz meletakkan tiga syarat sebelum diadakan muzakarah termasuk UMNO perlu menerima rakan pakatan Pas iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam secara rasmi dan mencadangkan muzakarah diadakan sebelum pilihan raya umum.

Beberapa pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun dilapor menolak cadangan mengadakan muzakarah.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi maklum balas bahawa parti itu sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menyindir Pas kerana sanggup meletakkan syarat untuk berbincang dengan UMNO melibatkan hal Melayu, tetapi tiada sebarang syarat pula untuk bekerjasama dengan DAP.

"Dengan DAP, Pas tak letakkan syarat pula sampai Karpal Singh kata langkah mayat dia dulu pun tak apa. Beliau belum jadi mayat pun dia (Pas) dah setuju, untunglah Karpal," katanya.

Ditanya mengenai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum, beliau mengulangi pendapatnya bahawa ia sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sambil berseloroh, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pasti bila tarikh tersebut kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membisikkan perkara itu ke telinganya.

"Tapi pada pendapat saya lepas rayalah, lebih baik lepas raya sebab dia (pengundi) sudah puasa, barang kali dekat sikit dengan Tuhan, ingat sikit dia dah puasa," ujarnya berseloroh.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan, Pas seharusnya tidak meletakkan syarat sekiranya benar-benar ikhlas untuk bermuzakarah dengan UMNO demi perpaduan umat Islam dan rakyat Malaysia.

Katanya, muzakarah adalah satu cadangan baik yang harus disambut dengan matlamat utamanya perpaduan untuk semua.

Beliau berkata, ia perlu dimulakan terlebih dahulu dan perbincangan terperinci boleh dilakukan semasa muzakarah.

"Kita bukan adakan muzakarah untuk berkelahi atau berbalah, kalau hendak buat benda baik jangan ada syarat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejururawatan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Negeri Kelantan, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, muzakarah amat baik untuk diadakan kerana ia boleh meningkatkan kerjasama di antara umat Islam dan rakyat.

"Ia satu perkara yang harus disambut, bagi kita ia membawa kebaikan kepada negara untuk bersama-sama melangkah kehadapan dengan lebih berjaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment